Anwar Dan Hakisan Integriti

Di sebalik slogan “reformasi” yang pernah mengangkatnya ke puncak kuasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini berdepan cabaran terbesar dalam kerjayanya: krisis keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

Dari isu mahkamah berprofil tinggi, percanggahan kenyataan, hingga kegagalan menunaikan janji reformasi — semua ini semakin menghakis imej seorang pemimpin yang pernah diangkat sebagai simbol keadilan.

Tidak ada isu yang lebih merosakkan integriti kerajaan Anwar selain pengendalian kes mahkamah berprofil tinggi. Kontroversi titah adendum Najib Razak membuka pekung bahawa kerajaan bukan sahaja gagal telus, malah dilihat berbohong secara terbuka.

Pada awalnya, pemimpin kerajaan menafikan kewujudan titah tersebut. Namun apabila dokumen itu terbukti sahih, rakyat menyaksikan bagaimana kerajaan bermain politik dengan institusi kehakiman dan istana.

Hakikat ini menimbulkan persoalan mendasar: jika prinsip kedaulatan undang-undang boleh dikompromi demi kepentingan politik, di mana lagi letaknya integriti sebuah kerajaan?

Saban minggu, rakyat disajikan dengan kenyataan bercanggah daripada menteri-menteri kerajaan — isu peruntukan pembangunan, isu campur tangan MCMC, hinggalah soal kebebasan media.

Kelemahan komunikasi ini bukan sekadar masalah teknikal, tetapi membina imej kerajaan yang cuba menyembunyikan kebenaran.

Lebih parah, institusi kerajaan dilihat digunakan sebagai alat politik: mengugut pengkritik, menyekat suara oposisi, tetapi pada masa sama berlembut dengan sekutu politik. Keadaan ini menimbulkan persepsi “double standard” yang bertentangan dengan semangat reformasi.

Rakyat juga tidak lupa janji besar Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri, antaranya mahu pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Beliau juga berjanji untuk mengabshakan Undang-undang pembiayaan politik. Dan ketiga, beliau berjanji melaksanakan kebebasan media dan pengukuhan institusi.

Namun setelah hampir dua tahun, janji itu tinggal retorik. Reformasi yang pernah dilaungkan kini terperangkap dalam tawar-menawar politik demi kelangsungan kuasa. Akhirnya, Anwar dilihat tidak jauh beza dengan pemimpin lama yang pernah dikritiknya dahulu.

Hakisan integriti ini membawa implikasi besar. Hari ini rakyat Semakin sinis dan hilang kepercayaan bahawa undang-undang mampu menegakkan keadilan untuk semua.

Kerajaan pula sudah hilang legitimasi moral untuk berbicara soal ketelusan dan integriti. Dan Ekonomi menjadi persoalan besar, pelaburan berbilion yang dicanangkan, terus menjadi tanda tanya.

Satu perkara lagi yang sangat menjolok mata ialah, Anwar kerap mengkritik golongan mahakaya, sedangkan pada masa yang sama, personaliti politik sepertiFarhash, kini tiba-tiba menjadi Orang Kaya Baru (OKB) dengan masa yang amat singkat.

Justeru, krisis integriti Anwar ini bukan sekadar masalah imej, tetapi menyentuh soal kelangsungan kuasa kerajaan dan masa depan negara.

Hakisan integriti ini bukan sekadar soal individu atau parti; ia menyentuh asas negara bangsa. Dan bagi rakyat, kesabaran terhadap retorik tanpa tindakan semakin hampir ke titik akhir. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share