Retak Dalaman Bersatu dan Masa Depan PN — Apa Yang CNA Cuba Beritahu Kita?

Artikel Channel News Asia (CNA) bertajuk “Bersatu rift, dire Sabah election – what’s next for PN as it eyes next GE?” menawarkan satu gambaran penting tentang keadaan pembangkang Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Walaupun ia sekadar berbentuk laporan analisis luar negara, artikel ini membuka beberapa persoalan besar yang wajar diteliti rakyat Malaysia, terutama mengenai masa depan PN, kestabilan Bersatu dan kemampuan gabungan itu menawarkan alternatif kepada kerajaan semasa.

Pertama, artikel CNA memberi tumpuan kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 yang menyaksikan Bersatu tewas di semua kerusi yang ditandingi. Kekalahan total ini bukan sekadar statistik sebaliknya ia mencerminkan kegagalan strategi dan kejatuhan pengaruh Bersatu di salah satu negeri yang pernah dianggap mempunyai potensi perkembangan bagi PN.

Lebih ketara, PAS pula berjaya meraih satu kerusi, sesuatu yang dianggap sebagai “penembusan awal” parti Islam itu ke Sabah. Walaupun kemenangan tersebut kecil, ia membawa dua mesej besar: PAS semakin berkembang ke luar Semenanjung, manakala Bersatu sedang tenggelam di negeri yang sebelum ini mereka cuba jadikan tapak pengaruh.

Namun, artikel CNA dengan tepat mengingatkan bahawa kekalahan Bersatu bukan sekadar isu Sabah semata-mata, tetapi cerminan retak dalaman parti itu sendiri. Pertikaian kepimpinan, perbezaan strategi dan ketidakpuasan ahli akar umbi terhadap hala tuju parti menjadikan Bersatu semakin rapuh.

Artikel tersebut juga menggariskan bagaimana perebutan pengaruh antara blok pimpinan tertentu menjadi duri dalam daging yang menghalang parti daripada bergerak sebagai satu unit yang mantap.

Kesan daripada retak ini turut dirasai dalam PN. Bersatu selama ini dianggap sebagai parti “payung” yang memegang watak nasionalis dan moderat dalam PN, manakala PAS membawa kekuatan akar umbi Melayu–Islam.

Apabila Bersatu melemah, keseimbangan dalam gabungan itu kembali bergantung kepada PAS dan senario ini mempunyai implikasi besar terhadap imej serta daya tarik PN kepada pengundi bukan Melayu, kelas menengah dan golongan atas pagar.

Tetapi, di sinilah rencana CNA mempunyai keterbatasan. Laporan tersebut memberi gambaran seolah-olah keputusan Sabah boleh dijadikan penanda aras nasional.

Hakikatnya, politik Sabah sentiasa unik, dipengaruhi faktor tempatan seperti etnik, personaliti calon dan isu negeri yang tidak wujud di Semenanjung. Menjadikan Sabah sebagai cermin masa depan PN adalah generalisasi yang terlalu luas.

Apa yang CNA kurang sentuh ialah persoalan dasar dan isu rakyat. PN kini berdepan cabaran untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka bukan sekadar gabungan yang kuat dalam retorik Melayu–Islam, tetapi juga mampu menawarkan solusi kepada masalah harian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, inflasi dan integriti pentadbiran.

Tanpa dasar yang meyakinkan, momentum politik tidak akan dapat dipertahankan meskipun PAS memiliki sokongan ideologi yang stabil.

Namun, yang menariknya rencana CAN ini, memberikan satu peringatan yang wajar: PN tidak boleh berharap kepada kemarahan rakyat terhadap kerajaan semata-mata. Jika Bersatu terus diselubungi konflik dalaman, dan jika PAS bersendiri tidak dapat menarik sokongan luar kelompok tradisionalnya, PN mungkin gagal muncul sebagai alternatif kukuh dalam pilihan raya umum akan datang.

Pembangkang memerlukan naratif baharu yang lebih segar: kepimpinan yang stabil, kesepakatan dasar dan strategi komunikasi yang konsisten.

Akhirnya, apa yang artikel CNA “cuba beritahu” ialah PN sedang berdiri di persimpangan. Sama ada gabungan itu mampu memanfaatkan kelemahan kerajaan, atau tenggelam dalam kelemahan sendiri, bergantung kepada sejauh mana Bersatu dapat disatukan semula serta sejauh mana PN mampu menawarkan visi negara yang jelas kepada rakyat.

Jika tidak, apa yang berlaku di Sabah mungkin bukan sekadar “amaran awal”, tetapi gambaran masa depan yang lebih besar. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share