Anwar Ibrahim Gagal Seimbangkan Akaun Negara Dengan Realiti Hidup Rakyat

Oleh : Zul Arif

Ketika Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada penghujung 2022, harapan rakyat tinggi bahawa seorang tokoh berpengalaman, dengan rekod panjang dalam pentadbiran dan perjuangan reformasi, mampu membawa Malaysia keluar dari krisis keyakinan dan tekanan ekonomi pasca-COVID-19.

Namun selepas hampir dua tahun, tanda-tanda kekecewaan semakin ketara dan puncanya bukan sekadar kegawatan global, tetapi juga kegagalan dasar ekonomi yang tidak berpijak di bumi nyata.

Anwar, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, telah memperkenalkan pendekatan “penyusunan semula subsidi” atas nama disiplin fiskal. Subsidi petrol, elektrik, dan bantuan bersifat umum dikurangkan atau disasar semula.

Namun langkah ini berlaku dalam keadaan pendapatan rakyat statik, inflasi meningkat, dan jaringan perlindungan sosial masih longgar. Hasilnya, ramai rakyat merasa dihukum kerana miskin – bukan dibela oleh kerajaan yang mereka undi.

Dalam teori ekonomi, subsidi bersasar adalah langkah tepat. Namun dalam realiti Malaysia, pelaksanaan tanpa sistem data yang cekap, kelewatan dalam penyaluran tunai, dan ketiadaan komunikasi jelas telah mewujudkan rasa gelisah dan marah dalam kalangan rakyat.

Pengguna mula melihat kerajaan sebagai “pemotong subsidi”, bukan sebagai pelindung mereka.

Yang lebih memeritkan, pengumuman subsidi bersasar sering datang bersama amaran kenaikan harga barang, tetapi tidak disertai mekanisme kawalan harga atau intervensi pasaran yang tegas.

Rakyat terpaksa berdepan dengan harga ayam, minyak, dan keperluan asas lain yang melonjak sementara pendapatan mereka tidak berubah.

Dalam pembentangan Bajet, Anwar sering menekankan keperluan “berjimat, perangi rasuah dan hidup sederhana”.

Namun dalam masa yang sama, pentadbiran beliau masih mengekalkan peruntukan besar untuk agensi kerajaan yang tidak produktif, menaikkan elaun penjawat tinggi, dan membiarkan GLC membelanjakan jutaan ringgit untuk projek bukan keperluan rakyat.

“Kesederhanaan” bagi B40 hatta M40 tidak sama dengan “kesederhaan” untuk kumpulan T20 atau T15. Bagi B40 dan M40, kesederhanaan itu melibatkan pemotongan peruntukan pendidikan anak, makanan anak dan belanja dapur. Tetapi bagi “kesederhanaan’ T20/T15 mereka cuma mengalih destinasi percutian dari eropah yang elit ke asia yang lebih murah. Gaya hidup mereka kekal seperti biasa.

Jadi apakah makna “kesederhanaan” bagi kita orang kebanyakkan?

Anwar sering mempromosikan kejayaan membawa masuk pelaburan asing (FDI) sebagai tanda keyakinan terhadap ekonomi Malaysia. Namun pelaburan besar seperti Tesla, Amazon, atau projek-projek digital belum membuahkan pekerjaan bermakna untuk rakyat biasa.

Di kilang-kilang dan gudang logistik, masih ramai anak muda dibayar RM1,500 sebulan, tanpa peluang kenaikan taraf hidup.

Anwar gagal menjawab soalan pokok: apakah model pembangunan ekonomi Malaysia hari ini? Adakah kita masih mahu menjadi ekonomi dengan buruh yang murah, atau bersedia naik ke tahap nilai tambah dan inovasi?

Kritikan terbesar terhadap dasar Anwar bukan sahaja pada butiran ekonomi, tetapi pada keutamaannya.

Ramai beranggapan beliau terlalu sibuk mengukuhkan pengaruh politik, berpidato dengan pelbagai retorik sambil mengejar persepsi antarabangsa — sehingga mengabaikan denyut nadi sebenar rakyat.

Beliau bercakap tentang agenda Madani, tetapi tidak membina dasar yang mengubah struktur ketaksamaan yang nyata.

Anwar Ibrahim mungkin mempunyai idealisme ekonomi, tetapi setakat ini beliau gagal menterjemahkannya menjadi dasar yang membela rakyat, kerana apa? Kerana, beliau tidak faham bagaimana mahu mentadbir. Yang beliau fokus setiap hari ialah, berpidato.

Beliau lupa satu perkara penting: rakyat tidak hidup dalam angka bajet atau graf pertumbuhan — mereka hidup dalam harga barang, sewa rumah, dan perbelanjaan sekolah anak. Dan pada ketika ini, semua itu sedang menekan mereka.

Malaysia tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai berpidato, tetapi kita perlukan pemimpin yang faham penderitaan dan tahu mentadbir. 

Zulkifli Arif – Pembaca politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share