
KUALA LUMPUR, 17 Okt 25 – Kumpulan pertubuhan mahasiswa bakal menganjurkan himpunan yang mana bertujuan bagi menyelamatkan pendidikan di negara ini.
Himpunan anjuran Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) itu dirancang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu negara pagi Sabtu.
“Himpunan Selamatkan Pendidikan Malaysia ini berobjektif untuk bersama menyuarakan dan menuntut keadilan terhadap isu keselamatan di dalam institusi pendidikan yang semakin buruk dan membimbangkan masyarakat,” kata surat jemputan yang diedar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan.
“Kami menyeru pihak NGO dan semua persatuan untuk turun menyertai Himpunan Selamatkan Pendidikan Malaysia,” katanya.
Menurut jemputan tersebut, kegagalan sistemik terhadap sistem pendidikan negara yang sangat meruncingkan dan masih belum ada jalan keluar atau solusi yang tuntas menuntut kumpulan mahasiswa turun ke jalanan.
Himpunan itu dijadual bermula seawal 10.30 pagi dengan peserta disaran mengikut tema hitam dan putih.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kini berhadapan desakan agar meletak jawatan berikutan beberapa insiden jenayah berlaku di sekolah di bawah kementerian itu.
Antara insiden itu adalah kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir.
Terbaharu, kejadian rogol bergilir-gilir di sekolah melibatkan pelajar tingkatan lima dan mangsa di tingkatan tiga; serta kematian pelajar perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4) akibat ditikam pelajar junior.
Pihak kerajaan harus memberikan komitmen dan melaksanakan satu jalan keluar yang tuntas untuk isu-isu yang telah berlaku dalam sistem pendidikan negara. Ayuh turun ke jalanan!,” katanya, dengan turut menyertakan #TurunFadhlina dan #SelamatkanPendidikanNegara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.