Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional

Semasa membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin telah membentangkan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) bertajuk ‘Membetul Kerangka, Menyemarak Ekonomi dan Melegakan Rakyat’. Ia perincian pemikirannya, iaitu Konsensus Nasional Baru yang meliputi Pembetulan Struktural Ekonomi.

Gagasan Belanjawan PN mengandungi kritikan-kritikan pedas terhadap Belanjawan 2026 dan tawaran-tawaran bernas daripada PN.  

Kritikan-kritikan tersebut ialah, (i) bahawa apa yang didakwa kerajaan sebagai tatakelola adalah, sebenarnya, kosmetik semata-mata; dan (ii) terdapat banyak kekhilafan dalam data-data ekonomi tinjauan fiskal 2026 yang digunakan kerajaan.

Kritikan yang mematikan penghujahan ialah apabila Hamzah mendedahkan wujudnya manipulasi angka paling pokok dalam belanjawan 2026. Ini merujuk jumlah RM50.8 bilion yang datangnya daripada dana GLIC, Badan Berkanun dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang tidak terdapat dalam akaun hasil disatukan. Isunya, bolehkah RM50.8 bilion ini ditakrifkan sebagai Pelaburan Awam?

Manakala tawaran-tawaran PN adalah seadanya dan tanpa pura-pura. Ia meliputi, (i) membetulkan asas-asas serta struktur-struktur kewangan dan ekonomi sedia ada; (ii) bagaimana menambah hasil negara dan membesarkan kek ekonomi; (iii) cara-cara melegakan beban dan mengurangkan tekanan yang ditanggung rakyat; dan (iv) komitmen PN untuk merealisasikan gagasan ini.

Ini kerana PN percaya sebelum mahu membina sesuatu yang lebih baik, kita mesti berani membetulkan apa-apa yang pincang; sebelum mampu menambahkan hasil, kita mesti menyalakan semula keyakinan; dan sebelum negara dapat mengecapi kemajuan, kesempitan hidup rakyat mesti dilegakan.

Tawaran yang bersifat asas (foundation), yang menjadi penentu atau katalis kepada perkara-perkara lain ialah, antaranya, dengan membesarkan kek ekonomi negara, mencipta peluang serta menambah hasil dari aktiviti pelaburan, inovasi dan produktiviti, menawarkan Dana Pemangkin Perniagaan Berimpak Tinggi serta memperkenalkan sistem cukai yang adil, telus dan menggalakkan pematuhan sukarela.

Sebab itulah PN mempunyai keupayaan untuk menawarkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.

Dalam pendidikan, tawaran PN menyentuh puncaknya, iaitu universiti:

  • Pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah kepada semua golongan rentan dan yang memerlukan, terutamanya penerima Bantuan Prihatin Nasional. Ini perihal kaedah berbelanja. Contohnya, bagaimana, dengan kos yang sama, sebuah IPT dapat membina menara baru kampusnya di bandar berbanding sebuah IPT lain membina hanya bangunan tambahan di luar bandar.
  • Mana-mana pelajar yang layak, mengikut merit, akan diberi biasiswa bagi menyempurnakan pengajian ijazah pertama dalam bidang strategik. Ini soal haluan dan bakat besar negara serta kerjasama antara kerajaan-pihak lain.
  • Autonomi kepada IPTA akan diperluaskan melalui Tabung Endowment khususnya membabitkan universiti-universiti penyelidikan. Ini bab yakin kepada minda-minda terbaik negara untuk berperanan dan berbuat.

Ketiga-tiga perkara ini amat strategik dalam melahirkan ‘insan baik’ sebagai pekerja, pemimpin dan warganegara.

Kesimpulannya, Gagasan Belanjawan PN praktikal, boleh dilakukan (doable), datang daripada orang yang mahu dan tahu melakukannya, dan bermanfaat buat rakyat. Ia tawaran segar – umpama belanjawan alternatif – daripada pembangkang konstruktif yang merupakan kerajaan menunggu.  

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share