
KUALA LUMPUR, 30 Mei 25 — Gabungan pertubuhan bukan kerajaan Ummah mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon imuniti bagi perbicaraan kes saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Muhammad Yusof Rawther.
Menurut Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa, berkata langkah Anwar memohon mahkamah meneliti lapan soalan berhubung isu imuniti jawatan disifatkan sebagai tindakan yang mencetuskan persoalan besar tentang kepercayaan terhadap sistem keadilan negara.
“Sebelum ini, Anwar sering menyatakan keyakinan kepada sistem kehakiman di bawah kerajaan Madani. Namun tindakan terbaharu ini menggambarkan seolah-olah beliau sendiri meragui ketelusan dan keadilan sistem tersebut,” tegas Mohd Zai dalam kenyataannya.
Ummah turut mempersoalkan kewajaran idea seorang perdana menteri mempunyai kekebalan undang-undang, serta kesan buruk sekiranya prinsip itu diterima pakai secara meluas.
“Sekiranya seorang perdana menteri mempunyai kekebalan penuh, apa akan jadi jika beliau melakukan kesalahan? Apakah rakyat harus akur bahawa pemimpin negara tidak boleh disentuh undang-undang, sedangkan rakyat biasa tetap dikenakan tindakan?” soal beliau lagi.
Mohd Zai menyifatkan perkembangan ini sebagai cabaran terhadap prinsip rule of law dan keadilan sejagat, dengan memberi amaran bahawa rakyat sedang memerhati dengan teliti segala tindak tanduk pemimpin negara.
Ummah turut menyeru perdana menteri agar tidak meneruskan permohonan imuniti tersebut dan sebaliknya menghadiri perbicaraan seperti dijadualkan.
Beliau turut mencadangkan agar Anwar mengambil cuti sementara sepanjang perbicaraan berlangsung bagi menjamin ketelusan serta memberi tumpuan penuh kepada proses pembelaan diri.
“Bukankah ini peluang terbaik untuk perdana menteri membuktikan beliau tidak bersalah? Rakyat mahu melihat kepimpinan yang berani, bukan yang berlindung di sebalik kekebalan,” tambah beliau. @politiko.my