PAS Kembali Punya Regu, Harapan BERSATU Semakin Kelabu — Kadir Jasin

KUALA LUMPUR | 15 Jun 26 — Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan kemunculan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai perkembangan yang memberi nafas baharu kepada blok pembangkang, khususnya PAS, menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam ulasan terbaharunya bertajuk “Nafas Baru Hamzah”, A. Kadir berpandangan penubuhan WAWASAN telah menjawab persoalan mengenai siapa yang bakal menjadi rakan strategik PAS selepas hubungan parti itu dengan BERSATU berakhir.

Menurut beliau, perkembangan tersebut membuktikan PAS kini mempunyai sekutu politik baharu yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan BERSATU dalam landskap pembangkang.

“PAS kini kembali mempunyai regu untuk menghadapi pilihan raya sementara harapan BERSATU semakin kelabu,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Hamzah mengenai penubuhan Parti Wawasan Negara pada Konvensyen RESET di Tanah Merah, Kelantan, Sabtu lalu.

Dalam masa yang sama, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengumumkan Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, sekali gus dilihat sebagai isyarat sokongan politik yang jelas terhadap bekas Timbalan Presiden BERSATU itu.

A. Kadir turut menegaskan bahawa penubuhan parti baharu tersebut memperlihatkan Hamzah dan kumpulannya tidak lagi mempunyai ruang dalam BERSATU selepas krisis dalaman yang membawa kepada pemecatan beliau pada Februari lalu.

Katanya, gerakan RESET yang diasaskan Hamzah kini telah memperoleh platform politik rasmi melalui WAWASAN, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya dalam blok pembangkang.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai masa depan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya selepas PAS secara rasmi menamatkan kerjasama dengan parti itu.

Menurutnya, perkembangan semasa menunjukkan PAS semakin hampir dengan Hamzah dan WAWASAN, manakala masa depan BERSATU dalam percaturan politik pembangkang dilihat semakin tidak menentu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share