Apa Beza Pendidikan Karakter Dengan Subjek Nilai Sedia Ada? – Pakar Pendidikan

KUALA LUMPUR, 19 Okt 25 – Penganalisis pendidikan, Dr. Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mempersoalkan rasional pengenalan mata pelajaran atau program baharu Pendidikan Karakter yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau mengemukakan beberapa persoalan asas mengenai perbezaan matlamat program tersebut berbanding mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik, yang turut menekankan nilai, akhlak serta pembentukan sahsiah murid.

“Apa beza ketara matlamat mata pelajaran atau program pendidikan karakter ini berbanding Pendidikan Islam, Moral dan Sivik?” soal beliau.

Dr. Anuar turut membandingkan matlamat program baharu itu dengan aktiviti kokurikulum sedia ada seperti badan beruniform, persatuan, SSDM (Sistem Sahsiah Diri Murid) dan inisiatif Duta Sahsiah, yang selama ini menjadi platform membina disiplin dan kepimpinan pelajar.

“Apakah matlamat pendidikan karakter ini langsung tidak sama dengan program kepimpinan murid atau budaya patuh peraturan sekolah sedia ada? Jika sama sahaja matlamatnya, apa perlunya kepada program pendidikan karakter?” tambahnya.

Kenyataan Dr. Anuar itu mencerminkan kebimbangan kalangan pendidik bahawa pengenalan program baharu tanpa penilaian terhadap dasar sedia ada boleh menimbulkan pertindihan fungsi dan kekeliruan pelaksanaan di sekolah.

Beliau menyeru agar Kementerian Pendidikan memberi penjelasan jelas mengenai objektif sebenar program berkenaan, termasuk pendekatan kurikulum, bentuk pentaksiran dan perbezaannya daripada subjek atau program nilai sedia ada.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Program Pembentukan Karakter di bawah Kurikulum Persekolahan 2027, satu inisiatif baharu yang mewajibkan setiap sekolah memperuntukkan 60 minit seminggu khusus bagi aktiviti pembangunan sahsiah dan nilai murni murid. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share