
KUALA LUMPUR, 9 Jul 25 – Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin secara sinis mempersoalkan sama ada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz masih menjadi ‘ayam tambatan’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kegagalan rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kadar tarif dinaikkan daripada 24% kepada kepada 25%.
“Sebelum cukai timbal balik 25% ini, duti import ke atas barang-barang Malaysia adalah daripada sifar kepada 37.5% dengan barang-barang pengguna dicukai antara 2.5% dan 6%.
“Dengan kegagalan rundingan (dan rayuan) itu, tidak tahulah kalau Tengku Zafrul masih menjadi ayam tambatan Anwar, dan terus dialu-alukan sebagai pelompat dari Umno ke PKR,” katanya.
Tengku Zafrul yang mengetuai perwakilan ke Washington DC pada Mei dilapor berkata, sebarang langkah oleh Amerika mengurangkan kadar cukai yang dicadangkan ke atas Malaysia kepada garis dasar (baseline) 10 peratus adalah langkah yang positif.
“Kenyataan itu tidak lebih daripada bermain dengan kata-kata bagi menyedapkan hati dan mengabui mata orang ramai yang tidak tahu.
“Hari ini, bukan sahaja beliau dan Kerajaan Malaysia Madani gagal merundingkan kadar 24% itu, sebaliknya dinaikkan menjadi 25%,” kata Kadir, di Facebooknya.
Pada 2024, Malaysia mengeksport kira-kira AS$43.43 bilion (kira-kira RM182.4 bilion) barang-barang ke Amerika dan mengimport sekitar AS$27.6 bilion (RM116 bilion). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.