Apa PN Mahu? Soal Penganalisis

KUALA LUMPUR, 22Ogos 25 — Perikatan Nasional (PN) disaran mengemukakan naratif jelas yang ingin dibawa gabungan pembangkang itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata penganalisis.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpandangan, gabungan longgar parti luar kerajaan seperti cuba menghakis imej PN yang dilihat cenderung dengan agenda Melayu, Islam namun sikap pemimpin di dalamnya masih lagi dengan naratif Melayu dan Islam yang tebal.

“PN kena buat keputusan nak mana. PN masih nampak terikat agenda Melayu, Islam. Kalau nak bawa semua kaum olahannya mesti sesuai,” kata Mazlan, kepada politiko.my.

Tambahnya, ketika gabungan longgar parti luar kerajaan yang diinisiatifkan oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menonjol imej kepelbagaian kaum, salah satu komponennya memperjuangkan keabsahan perjuangan berteraskan Islam.

“Isunya sekarang salah satu gabungan terkuat PAS. Dia perjuangkan keabsahan perjuangan Islam. Itu PAS tak boleh kompromi sebab itu PAS bawa naratif Melayu dan Islam.

“Setakat ini Muhyiddin yang ketuai PN berjaya mobilisasi pengundi Melayu tapi tidak berjaya mobilisasi bukan Melayu. Itu tujuan ditubuhkan gabungan longgar untuk tunjuk PN juga memperjuangkan kepentingan kaum lain.

“Sedangkan persepsi orang bukan Melayu anggap PN hanya bawa naratif melayu Islam. Jika tak dapat sokongan pengundi bukan Melayu, PN sukar kuasai Persekutuan untuk PRU16 akan datang,” kata Mazlan.

Malah, idea rekonsiliasi nasional baharu oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut tersepit dengan dua naratif tersebut, kata Mazlan lagi.

“Hamzah bawa langkah proaktif bila isu rekonsiliasi nasional nampak bagus. Tapi naratif Melayu, Islam menyebabkan tersepit antara dua kepentingan.

“Adakah PN bawa naratif Melayu, Islam atau untuk semua,” kata Mazlan.

Sehubungan itu katanya, PN perlu memilih salah satu naratif agar rakyat mudah membuat keputusan.

“Orang akan keliru. Antara front nak dibawa ada agenda sifatnya Melayu, Islam. Ada agenda nasional. PN ada dua tahun untuk buat persiapan.

“Bawa wajah yang rakyat mudah hadam, biar mereka faham apa agenda sebenar PN. Agenda pemerkasaan Melayu seperti payung besar. Muafakat nasional antara PAS, Umno, atau Bersatu atau bentuk gabungan mewakili semua kaum.

“Mereka kena buat keputusan sekarang. Poster boy dah kena ada. Kalau tak dekat PRU rakyat susah nak hadam. Akhirnya nanti satu kaum sahaja sokong,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah gabungan longgar terdiri daripada 12 parti pembangkang.

Beliau berkata gabungan itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share