
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis dakwaan “maruah negara tergadai” berhubung perjanjian ART dengan Amerika Syarikat boleh dianggap sekadar untuk menenangkan penyokong kerajaan, namun jika diperhalusi, ia menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan, dasar luar dan kedudukan strategik Malaysia dalam percaturan kuasa besar.
Di sebalik keyakinan yang ditampilkan, hujah Anwar sarat dengan retorik.
Pertama, Anwar memberikan jaminan politik tanpa mengemukakan bukti dasar atau rujukan kepada teks sebenar perjanjian tersebut.
Menyatakan bahawa Malaysia “tidak terhad bekerjasama dengan China” dan “tiada apa menghalang” mungkin kedengaran meyakinkan, tetapi dalam isu melibatkan kuasa besar seperti AS–China, retorik tidak boleh menggantikan hitam putih dokumen.
Tanpa sokongan hujah dari RCI sebagai contoh, proses semakan, atau mekanisme perlindungan kedaulatan yang jelas, keyakinan Anwar kekal pada tahap kenyataan media, bukan analisis dasar yang telah teruji.
Kedua, hujah Anwar sebenarnya mengesahkan sesuatu yang cuba disembunyikan: Malaysia tetap terdedah kepada dasar eksport AS melalui syarikat-syarikat Amerika yang beroperasi di negara ini.
Apabila beliau sendiri menyebut bahawa syarikat AS di Malaysia masih perlu mematuhi peraturan eksport Washington, ia mengakui hakikat bahawa Malaysia tidak bebas sepenuhnya daripada implikasi dasar Amerika.
Jika AS mengetatkan sekatan teknologi ke China, kesannya tetap akan sampai ke Malaysia walaupun kita bukan pihak dalam konflik tersebut. Ini menjadikan negara kita bukan sekadar rakan strategik, tetapi sebahagian daripada ekosistem geopolitik AS, sama ada kita akui atau tidak.
Ketiga, Anwar menggunakan contoh yang tidak relevan untuk menafikan kebimbangan umum. Menyebut projek air Sungai Perak atau pelaburan Jerman sebagai bukti bahawa Malaysia masih boleh bekerjasama dengan China tidak menjawab isu sebenar ART yang melibatkan keselamatan, akses maklumat, rantaian bekalan kritikal dan potensi sekatan teknologi. Dan yang paling penting, kesan perjanjian tersebut ke atas semua urusniaga selepas ini.
Keempat, nada kenyataan Anwar kelihatan terlalu defensif. Dalam hubungan antarabangsa, sebarang perjanjian dengan kuasa besar memang mengandungi implikasi terhadap autonomi negara. Menolak terus kebimbangan “maruah tergadai” tanpa menghuraikan mekanisme mitigasi menjadikan jawapan beliau lebih bersifat damage control daripada penjelasan dasar.
Kelima, isu besar yang tidak disentuh ialah ketelusan. Tidak dinyatakan sama ada perjanjian itu dibahas di Parlimen atau dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Dalam sebuah negara demokratik, perjanjian strategik tidak boleh dimeterai secara tertutup tanpa semakan legislatif. Ketiadaan proses ini sendiri sudah cukup untuk menimbulkan keraguan.
Akhirnya, kenyataan Anwar lebih menyerupai usaha menenangkan persepsi awam berbanding penerangan jujur tentang implikasi geopolitik yang sedang dihadapi negara.
Tanpa RCI dan penjelasan klausa kritikal, dakwaan bahawa semuanya “tidak menggadaikan maruah negara” sukar ditelan. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.