
KUALA LUMPUR | 16 Mc 26 – Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa kerajaan memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan implikasi serta hala tuju perdagangan negara susulan pengesahan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dato’ Seri Johari Abdul Ghani, bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini terbatal.
Pembatalan itu berlaku selepas keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang menjejaskan asas undang-undang perjanjian tersebut, menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan rundingan dan komitmen kerajaan sebelum ini, terutamanya impaknya kepada industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan, dan kepastian dasar pelaburan.
Menurut Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, ketelusan dasar dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia menjadi semakin penting.
“Mana-mana perjanjian perdagangan strategik dengan implikasi besar terhadap dasar negara dan ekonomi mesti ditangani dengan teliti dan institusi yang kukuh,” katanya.
PN menekankan bahawa pembatalan ART menegaskan kepentingan pendekatan berhati-hati dan penilaian menyeluruh sebelum negara terikat dengan sebarang komitmen perdagangan antarabangsa. Oleh itu, kerajaan digesa memberikan penjelasan menyeluruh mengenai status perjanjian, implikasi ekonomi dan diplomatik, serta langkah-langkah bagi melindungi kepentingan negara.
Selain itu, PN berpandangan Sidang Khas Parlimen penting bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen mendapat taklimat penuh dan membahaskan isu ini secara terbuka, termasuk hala tuju hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat dan sebarang komitmen atau konsesi yang telah dibuat.
“Langkah ini penting untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, serta membolehkan Parlimen memainkan peranan wajar dalam memeriksa dasar perdagangan dan kepentingan jangka panjang ekonomi negara,” tegas Takiyuddin.
PN menegaskan akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal diutamakan dalam keputusan dasar perdagangan kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.