
KUALA LUMPUR | 15 Mac 26 – Agenda Reset ke arah Konsensus Nasional yang dibawa oleh Hamzah Zainudin dilihat berpotensi mengangkat profil politik beliau di peringkat nasional, namun hanya jika gagasan itu diterjemahkan kepada reformasi institusi yang nyata dan bukan sekadar retorik politik.
Profesor Kehormat Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh di Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, rakyat ketika ini semakin peka terhadap jurang antara slogan politik dan pelaksanaan dasar sebenar.
Menurut beliau, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa agenda reformasi institusi sering dilaungkan, namun pelaksanaannya tidak semestinya berlaku seperti yang dijanjikan.
“Rakyat sudah terlalu banyak melihat contoh seperti ini, termasuk dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini apabila kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim gagal mendapatkan sokongan mencukupi untuk menghadkan penggal perkhidmatan seorang Perdana Menteri.
“Pada masa sama, Perdana Menteri juga terus memegang jawatan Menteri Kewangan walaupun sebelum ini tindakan tersebut pernah dikritik,” katanya kepada politiko.
Ahmad Fauzi menjelaskan, reformasi institusi perlu menjadi tonggak utama kepada Konsensus Nasional sekiranya gagasan tersebut mahu diterima secara meluas oleh masyarakat.
Menurutnya lagi, cabaran terbesar untuk merealisasikan agenda tersebut ialah mendapatkan sokongan padu merentasi sempadan politik kepartian, agama, etnik serta kelas sosial.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kompas moral kepada agenda Reset yang menekankan kekuatan adab juga selari dengan gagasan pemikiran tokoh intelektual negara, Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Katanya, konsep pendidikan sebagai proses ta’dib yang diketengahkan oleh tokoh berkenaan menekankan pembentukan adab dan nilai sebagai asas pembinaan masyarakat yang lebih seimbang.
“Apabila dikatakan kompas moral Reset ini ialah kekuatan adab, ia sangat relevan dengan usaha memartabatkan pemikiran Syed Naquib al-Attas yang mengkonseptualisasikan pendidikan sebagai proses ta’dib, bukan sekadar ta’lim atau tarbiyyah semata-mata,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.