Kekuatan Sebenar Bukan Kerana Jawatan – KB RESET

KUALA LUMPUR | 15 Apr 26 – Keputusan Datuk Seri Hamzah Zainudin melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai langkah yang mencerminkan kekuatan sebenar dalam politik, bukan kelemahan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Biro (KB) RESET Kepala Batas, Khaliq Mehtab berkata, tindakan tersebut menunjukkan masih wujud pemimpin yang mampu membezakan antara kepentingan perjuangan dan kepentingan jawatan.

“Dalam politik, tidak semua pemimpin mampu membezakan antara kepentingan perjuangan dan kepentingan jawatan. Namun tindakan yang diambil oleh DS Hamzah Zainudin membuktikan bahawa masih wujud pemimpin yang mempunyai jiwa besar dalam politik negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, langkah melepaskan jawatan itu bukan satu pengunduran, sebaliknya strategi untuk memastikan kekuatan blok pembangkang terus diperkukuhkan dalam landskap politik semasa.

“Keputusan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang bukanlah tanda kelemahan seperti yang cuba diputar oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia adalah langkah matang dan strategik bagi memastikan kekuatan blok pembangkang terus diperkukuhkan,” ujarnya.

Tambah Khaliq, kekuatan sebenar seorang pemimpin tidak terletak pada jawatan yang dipegang, tetapi pada keberanian membuat keputusan demi kepentingan perjuangan yang lebih besar.

“Pemimpin yang benar-benar kuat bukanlah mereka yang berpegang mati pada jawatan, tetapi mereka yang berani membuat keputusan demi kepentingan perjuangan yang lebih besar.”

Beliau turut menegaskan bahawa pengaruh politik tidak semestinya terikat kepada kedudukan rasmi, sebaliknya dibina melalui kepercayaan dan jaringan yang kukuh.

“Pemimpin yang mempunyai pengaruh sebenar tidak perlu bergantung kepada jawatan untuk kekal relevan.”

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang cuba mempersoalkan keputusan tersebut kerana bimbang terhadap kekuatan sebenar yang dimiliki.

“Sebab itu ada pihak yang mula gelisah. Ada yang cuba memutar cerita. Ada yang cuba mencipta persepsi,” katanya.

Khaliq turut mempersoalkan motif kritikan terhadap Hamzah, sama ada ia benar-benar berasaskan analisis politik atau didorong oleh kebimbangan tersirat.

“Adakah mereka mengkritik kerana benar-benar memahami strategi politik… atau sekadar takut dengan kekuatan kepimpinan yang beliau miliki?” soalnya.

Menurut beliau, kekuatan Hamzah bukan sahaja terletak pada pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, tetapi juga pengaruh di peringkat akar umbi serta keupayaan menyatukan kekuatan dalam Perikatan Nasional.

Perkembangan itu, katanya, memperlihatkan bahawa dalam politik semasa, pengaruh sebenar tidak lagi bergantung kepada jawatan semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh tahap kepercayaan dan sokongan yang dimiliki seseorang pemimpin. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share