
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 – Penafian tanpa sebarang tindakan undang-undang adalah tidak memadai buat Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali berkaitan dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadapnya, kata aktivis
Shahbudin Husin berkata, Azmin wajar memfailkan saman terhadap Wan Saiful dengan jumlah tuntutan ganti rugi yang memadai.
“Berkaitan hal ini, penafian semata-mata adalah tidak memadai bagi Azmin. Lebih baik beliau memfailkan tindakan saman terhadap Wan Saiful berhubung tuduhan tersebut.
“Lagi pun, kebelakangan ini ramai pemimpin telah menang saman fitnah terhadap pihak yang didapati membuat dakwaan tidak berasas dan berunsur fitnah. Mereka seterusnya beroleh ganti rugi yang besar hasil kemenangan saman itu,” katanya, dalam satu hantaran media sosial.
Shahbudin berkata, sekiranya Azmin yakin tuduhan Wan Saiful terhadapnya adalah fitnah, bermakna peluangnya untuk menang dan memperolehi ganti rugi juga adalah besar.
“Diharapkan Azmin jangan berlengah lagi berurusan dengan peguam untuk memulakan proses tersebut.
“Bahkan sesiapa yang pernah terbabit membuat dakwaan yang sama terhadapnya, Azmin turut wajib menyaman mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, melalui tindakan itu isu berkenaan akan dapat terus dimatikan daripada kembali berulang.
“Sebagai pemimpin masa depan yang namanya disebut-sebut sebagai antara bakal Perdana Menteri suatu hari nanti, Azmin harus menamatkan episod ini secara ‘once and for all’.
“Saman semua mereka dan kambus terus isu ini buat selama-lamanya, “katanya.
Baru-baru ini, dalam satu sidang media, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendakwa Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah individu pertama yang mencetuskan naratif songsang kononnya wujud usaha menjatuhkan Presiden parti menerusi Statutory Declaration (SD).
Menurut Wan Saiful, naratif tersebut bermula selepas satu pertemuan di Ibu Pejabat Bersatu pada 19 Ogos lalu, membabitkan Azmin serta beberapa ketua bahagian termasuk Datuk Suhaimi Ghazali (Sepang), Shukor Mustafa (Puchong), Rosnizan Ahmad (Kuala Langat) dan Datuk Harrison Hassan (Kuala Selangor).
Beliau mendakwa dalam pertemuan itu, Suhaimi dan Shukor diugut supaya menarik balik sokongan terhadap dokumen tersebut, dengan amaran mereka tidak akan diberikan watikah calon pada pilihan raya umum akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.