Bendera Malaysia, Simbol Negara Berdaulat

Oleh : Dr. Sivamurugan Pandian

Antara detik yang paling menggembirakan seorang warga yang setia, jujur dan tinggi kasih sayang pada negara adalah ketika bendera negaranya dinaikkan beserta dengan lagu Negaraku.

Baru-baru ini saya ke Jepun dan salah satu universiti yang dilawat telah menaikkan bendera Malaysia di ruang legarnya. Ini penghormatan bukan pada saya tetapi bendera lambang negara jiwa bangsa.

Rasa megah dan bangga tersemat dalam diri seolah-olah seperti meraih kemenangan di arena sukan dan bendera akan diberikan kepada atlet untuk berarak bersamanya.

Itulah nilai patriotik dan nasionalis secebis kain, nilai yang tidak ada tolok bandingnya; nilai yang tidak boleh dijual beli kerana ia adalah maruah negara-bangsa; ia adalah jati diri; ia adalah simbol negara berdaulat.

Bendera adalah lambang jiwa merdeka berpaksikan penyatuan dan berpusatkan pengertian kebebasan di bumi yang berakarkan kepada perpaduan warganya.

Sebagaimana titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agung Sultan Ibrahim ‘kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima’ (16 April 2025).

Walaupun ada permohonan maaf, sampai bila kita mahu merendahkan martabat, maruah, reputasi dan kredibiliti sebagai warga yang bertanggungjawab. Ini bukan isu teknikal, ia adalah paparan sikap endah tak endah kerana tahu dengan mudah boleh bolos apabila ‘mohon maaf’.  

Bendera bersemangat waja, sifatnya berbudi pekerti, memayungi negara dengan institusi induk kedaulatan, berjiwa merdeka dengan kekentalan semangat jaya atas nama persekutuan.

Jalur Gemilang adalah gambaran hala tuju bersama dari Perlis ke Johor; merentasi Pantai Timur dan Borneo untuk kegemilangan bangsa Malaysia dilengkapi hubungan istana dan naungannya.

Bendera Malaysia ini adalah lambang keazaman untuk mempertahan, menaikkan dan menggapai kecemerlangan untuk menjadi terbilang dengan satu suara semangat memastikan tidak ada gugatan ke atas sumpah warga berdaulat berselaputkan ketaatan dengan jalur semangat semua warga Malaysia.

Satu ketika ada Hari Bendera Persatuan Bulan Sabit Merah dengan matlamat kemanusiaan. Kini ia kabur dan hilang.

Namun, muncul pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada semua murid sekolah, pelajar kolej matrikulasi dan IPGM mulai 21 April 2025. Adakah ini satu kebetulan dengan insiden akhbar berbahsa Cina baru-baru ini?

Memakai lencana Malaysia bersesuaian dalam suasana semasa, jangan sekadar pakai, tapi berbangga dengan simbol ini, lambang kekuatan bumi Malaysia.

Besar harapan agar jika wujud insiden seperti ini sebagaimana Jalur Gemilang dibakar di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta sebelum ini, atau diheret sewaktu menaiki kenderaan mahupun dipijak oleh sesiapa sekalipun, perasaan duka dan luka perlu ada.

Ia perlu dipertahankan seperti lambang kenegaraan Jata Negara, lagu Negaraku, Bunga Raya dan harimau yang juga adalah simbol Malaysia.

Pendidikan ke atas pengisian dan penghayatan lambang kenegaraan perlu ada kesedaran berterusan. Ia bukan sekadar satu lambang atau simbol tetapi ia adalah identiti pengukuhan jati diri warganya.  

Malahan, ia perlu ada di ruang lebih luas tanpa terikat dalam alam persekolahan semata-mata. Belajar dari Indonesia yang bangga dengan slogan ‘Bhinneka Tunggal Ika (berbeda-beda tetap satu jua).

Semboyan ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ perlu dimulakan. Ia adalah usaha mempererat perpaduan dan hubungan berkerjasama antara satu dengan lain dalam supaya kita gemilang. Bendera ada rasa cinta dan bersatu sifatnya.  

Kita tidak boleh lalai dan alpa. Pemisahan berbaur kebencian dan hasutan adalah satu pengkhianatan. Seruan sebegini mesti ditolak secara menyeluruh tanpa ada ruang untuk memperlekeh dan mempersenda atau menghina kedaulatan negara kerana ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Kesedaran ke atas Malaysia adalah tanggungjawab sivil kita dengan navigasi ke atas solidariti rakyat Malaysia seumpama ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Ini adalah identiti nasional kita.

Kesedaran ke atas lambang dan simbol Malaysia bukan satu destinasi; ia adalah perjalanan jika masing-masing mahu bertanggungjawab ke atas kedaulatan, keamanan, keselamatan dan kesejahteraan ke arah pembinaan negara-bangsa yang harmoni dan inklusif.

Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Psikoanalisis: Muhyiddin Pasca PRU15

Kesimpulannya, kepimpinan Muhyiddin kelihatan lebih efektif apabila disertai kuasa eksekutif. Tanpa kuasa, arah politiknya menjadi kabur, menunjukkan kebergantungan bawah sedar terhadap legitimasi kuasa, bukan terhadap daya kepimpinan semula jadi.
Read More
Total
0
Share