BERSATU Digesa Terima Wawasan, Jangan Emosional Terhadap Hamzah

KUALA LUMPUR | 17 Jun 26 — Ahli Muafakat Nasional, Khairuddin Abu Hassan menggesa BERSATU supaya menyokong kemasukan Parti Wawasan Negara ke dalam Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan pemimpin-pemimpin parti itu tidak seharusnya terus bersikap emosional terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulannya.

Menurut Khairuddin, penyatuan yang kukuh antara BERSATU, PAS dan parti-parti pembangkang lain merupakan syarat penting sekiranya PN mahu menumbangkan Pakatan Harapan (PH) serta menawan semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, penubuhan Parti Wawasan Negara yang dipimpin Hamzah perlu dilihat sebagai satu kekuatan baharu kepada pembangkang dan bukannya ancaman kepada mana-mana pihak.

“Penubuhan serta penerimaan masuk parti YB Dato Seri Hamzah Zainuddin ke dalam PN adalah satu ‘bonus’ bagi memperkuatkan kedudukan PN.

“Ini adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun kerana parti Wawasan Negara kini mempunyai 19 orang ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khairuddin menggesa BERSATU mengambil pendekatan yang lebih terbuka dan menyokong penyertaan Wawasan Negara ke dalam gabungan berkenaan.

“Dalam konteks ini, Bersatu harus sokong untuk menerima masuk parti Wawasan Negara ke dalam PN sebagai satu strategi penambahbaikkan serta memperkasakan lagi kedudukan PN untuk menewaskan PH di Putrajaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegur segelintir pemimpin BERSATU yang menurutnya masih terbawa-bawa dengan perselisihan lama melibatkan bekas pemimpin dan Ahli Parlimen parti itu yang kini bersama Hamzah.

“Segelintir dari pemimpin-pemimpin parti Bersatu tidak harus bersikap emosional lagi dengan mantan-mantan ahli-ahli Parlimen mereka yang kini bersama dengan YB Dato Seri Hamzah Zainuddin.

“Malahan, semua pihak harus berlapang dada serta berjiwa besar untuk lupakan apa saja bentuk perselisihan faham jika mahu menubuhkan kerajaan baru di Putrajaya selepas PRU16,” katanya.

Khairuddin berkata, pembangkang tidak boleh berpecah dan perlu memperluaskan kerjasama dengan menerima parti-parti politik kecil serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuhkan kedudukan PN menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau turut mengingatkan bahawa semangat permuafakatan yang tulen, jujur dan ikhlas perlu menjadi asas kepada gerakan pembangkang jika mahu berdepan PH secara lebih berkesan.

“Hanya penyatuan dan perpaduan yang kental sesama kita saja boleh menjaminkan kerajaan PH tumbang di Putrajaya,” katanya.

Menurut beliau, semua pihak perlu mengetepikan sebarang bentuk “internal retaliation” dan menumpukan kepada matlamat bersama untuk membentuk kerajaan baharu selepas PRU16.

Terdahulu, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung kemasukan parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perbincangan itu akan dibuat ketika Mesyuarat Agung Tahunan minggu hadapan. Namun, hasrat tersebut dijangka mendapat tentangan daripada BERSATU, parti yang dianggotai Hamzah sebelum di pecat, Februari lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Pengerusi Baharu PN, Daripada PAS – Takiyuddin

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, calon tersebut adalah seorang pemimpin kanan PAS dan juga ahli Parlimen, namun identitinya belum boleh didedahkan kerana pelantikan rasmi hanya akan dibuat melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN kelak.
Read More
Total
0
Share