
KAJANG | 5 Ogos 26 — Kematian mengejut seorang jururawat, Vanessa Anak Enot, sekali lagi mengundang persoalan besar mengenai tahap tekanan yang sedang ditanggung petugas kesihatan di hospital kerajaan ketika ini.
Bagi Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), insiden tersebut bukan lagi sekadar kisah duka yang menimpa seorang petugas kesihatan, sebaliknya menjadi simbol kepada krisis yang semakin membarah dalam sistem kesihatan awam negara.
Wakil Wawasan Negara Hulu Langat, Faiz Rahmad, berkata isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan kini telah melangkaui soal kebajikan kakitangan dan bertukar menjadi isu keselamatan yang membabitkan nyawa petugas serta pesakit.
“Setiap nyawa anggota perubatan yang terkorban adalah satu kerugian besar buat negara dan bukti jelas bahawa sistem sedia ada sedang menanggung tekanan yang serius serta tidak mampu menampung keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keadaan di kebanyakan hospital kerajaan semakin membimbangkan apabila jumlah doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan dan kakitangan sokongan tidak lagi seimbang dengan peningkatan jumlah pesakit.
Akibatnya, syif kerja yang panjang, waktu rehat yang semakin berkurangan dan tekanan berterusan telah menjadi sebahagian daripada rutin harian petugas kesihatan.
Faiz berkata, keadaan itu bukan sahaja meningkatkan risiko kesilapan ketika menjalankan tugas, malah turut menjejaskan kesihatan fizikal dan mental kakitangan perubatan.
Beliau turut membangkitkan isu kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan fenomena microsleep selepas petugas selesai menjalani syif yang panjang, selain peningkatan kes kemurungan dan tekanan emosi dalam kalangan doktor muda serta jururawat.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh lagi bergantung semata-mata pada semangat pengorbanan petugas kesihatan untuk menampung kelemahan sistem yang semakin ketara.
“Kesihatan awam ialah tonggak utama kesejahteraan negara. Kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada iltizam dan pengorbanan peribadi doktor serta jururawat untuk menampung jurang kelemahan sistemik yang wujud,” katanya.
Mendiang, yang bertugas di sebuah hospital kerajaan, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada 2 Ogos lalu sekembalinya ke rumah dari syif malam. Beliau bertugas di Hospital Umum Sarawak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.