
KUALA LUMPUR | 6 Mac 26 – Tan Sri Rais Yatim menegaskan bahawa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu perlu menumpukan perhatian masing-masing secara bijak demi memperkukuh politik Melayu.
Beliau berkata, Dr. Sam, yang baru dilantik sebagai Pengerusi PN, wajar diberi ruang untuk membina kepimpinannya tanpa diganggu pertikaian dalaman.
“Biarlah beliau cari ruang pimpinannya dulu,” kata Rais, sambil menekankan bahawa bulan Ramadhan bukan masa untuk tarik-tali politik atau permainan kuasa.
Sementara itu, Rais menasihati Presiden Bersatu agar fokus kepada partinya yang kini menghadapi cabaran dalaman.
“Kini tiang dah tinggal tak seberapa, banyak goyang pada yang tegap,” katanya, merujuk kepada struktur parti yang semakin lemah selepas kehilangan ramai ahli.
Rais juga menyeru supaya semua pihak Melayu bersatu dan memadukan tenaga, berikutan penyebaran parti Melayu kini bersimpang-perenang dalam lapan parti berbeza, berbanding kaum Tionghua yang hanya mempunyai dua parti besar, iaitu DAP dan MCA.
Beliau menegaskan bahawa rundingan bijak dengan UMNO pada masa yang sesuai adalah penting, memandangkan parti itu turut mempunyai aspirasi jawatan Perdana Menteri.
Mengenai siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, Rais menegaskan ia bergantung kepada parti yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, dengan pertimbangan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menekankan pencapaian PAS, yang kini memiliki 43 kerusi, dan berharap jumlah itu bertambah pada PRU-16, manakala Bersatu yang pernah memiliki 31 kerusi kini hanya tinggal 7.
Rais menasihatkan pemimpin supaya menyesuaikan strategi politik masing-masing mengikut keadaan sebenar.
“Guntinglah baju ikut badan. Sempit jangan gelembong pun jangan.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.