Mas Ermiyati Letak Jawatan, Bahagian Masjid Tanah Dan Selayang Bubar

MASJID TANAH | 20 Feb 26 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah hari ini mengumumkan pembubaran rasmi jawatankuasa bahagiannya selepas kepimpinan utama dan ahli jawatankuasa bertindak meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas yang berlangsung kira-kira dua jam dan dihadiri Ahli Jawatankuasa Bahagian, ketua-ketua sayap serta ketua-ketua cawangan.

Dalam pertemuan tersebut, Ketua Bahagian, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah. Tindakan itu kemudiannya diikuti oleh ketua-ketua sayap, ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan yang hadir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mesyuarat khas berkenaan turut merekodkan pendirian sebulat suara bahawa tindakan tersebut dibuat susulan hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

“Dengan peletakan jawatan ini, dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah adalah dengan ini terbubar secara rasmi,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, BERSATU Bahagian Selayang turut mengumumkan pembubaran bahagian tersebut. Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat bahagian yang telah diadakan pada Rabu, pengumuman tersebut turut menyaksikan peletakan jawatan 12 Ahli jawatankuasa Bahagian.

Perkembangan terbaharu ini, menandakan penerusan pembubaran lebih banyak lagi bahagian-bahagian yang telah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin Yassin, ekoran pemecatan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin, Jumaat lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share