
KUALA LUMPUR, 2 Sep 25 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 pada 6 dan 7 September ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, dengan fokus utama menetapkan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung Bersatu dalam satu kenyataan berkata, PRU16 dijangka berlangsung tahun depan bersama beberapa pilihan raya negeri, menjadikan PAT 2025 medan penting untuk menilai prestasi jentera parti, meningkatkan latihan di semua peringkat, dan memperkukuh kerjasama strategik bersama parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN).
“Halatuju menghadapi PRU16 akan terangkum dalam Ucapan Dasar Presiden yang turut memberi penekanan kepada isu semasa seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan anak muda, ekonomi dan pelaburan, tarif import Amerika Syarikat, Akta Pembaharuan Semula Bandar, Islam serta keharmonian rakyat,” katanya.
Perhimpunan bermula Sabtu pagi dengan perasmian sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Sayap Bersekutu oleh Timbalan Presiden. Malamnya, Presiden Pengasas Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan merasmikan PAT 2025 di Dewan Bunga Raya, IDCC.
Sebanyak 94 jemputan dihantar kepada kedutaan, pimpinan parti anggota PN, parti sahabat dan NGO. Antara tetamu yang mengesahkan kehadiran ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada 7 September, seramai 14 perwakilan negeri, 4 wakil sayap dan 2 wakil mahasiswa universiti akan membahaskan ucapan dasar Presiden sebelum sesi penggulungan sebelah petang.
PAT kali ini dijangka menghimpunkan 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sebagai penutup, Bersatu akan meraikan ulang tahun ke-9 penubuhan parti itu pada malam 7 September di IDCC. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.