Timb Ketua Bersatu Segambut ‘hilang’ Lepas Bayar Penalti RM4.1 juta – SPRM

KUALA LUMPUR, 20 NOV 25 – Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, kini dipercayai “hilang” selepas dikenakan hukuman penalti berjumlah RM4.1 juta berhubung siasatan berkaitan projek Jana Wibawa.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang memaklumkan bahawa Adam telah meninggalkan negara selepas keputusan mahkamah diumumkan, namun pihaknya tidak dapat mengesahkan lokasi beliau ketika ini.

Menurut laporan Berita Harian, Adam sebelum ini disiasat berkaitan projek Jana Wibawa dan bebas ke luar negara selepas hukuman penalti tersebut dikenakan.

Azam berkata, SPRM kini berbincang dengan Jabatan Imigresen mengenai status pasport tertuduh, namun beliau enggan mengulas sama ada dokumen perjalanan Adam sudah dibatalkan atau sebaliknya.

SPRM turut memaklumkan usaha sedang dilakukan untuk mengesan Adam, 44, bagi membantu siasatan berhubung projek Lebuhraya Putrajaya ke KLIA (MEX 2) yang menghubungkan Persimpangan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 20 Ogos lalu, Adam dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas bersetuju membayar kompaun RM4.1 juta. Keputusan itu direkodkan oleh Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan menerima surat representasi yang dikemukakan tertuduh di bawah Seksyen 92(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Adam sebelum ini didakwa meminta dan menerima suapan berkaitan projek kerajaan bernilai RM47.8 juta, selain didakwa menerima RM4.1 juta bagi membantu dua syarikat memperoleh projek Jana Wibawa. Beliau turut dituduh meminta RM2 juta sebagai upah mendapatkan projek sama antara Mac 2021 hingga Januari 2023. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share