
KUALA LUMPUR, 30 Jun 25 – Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dinilai semula bagi mengelakkan pembaziran masa mahkamah dan sumber awam.
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, selain itu, pendakwaan terhadap presiden Bersatu itu disifatkan tanpa berasaskan bukti kukuh serta berunsur motif politik.
“Pendakwaan terhadap Muhyiddin dilihat mempunyai persamaan dengan dua kes berprofil tinggi melibatkan Syed Saddiq dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Namun perbezaannya ialah tiada sebarang transaksi walau satu sen yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi mahupun akaun syarikat milik Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, bagi kes yang melibatkan pendanaan politik, terdapat kelompongan dari segi peruntukan undang-undang bagi mengawal selia isu tersebut di peringkat nasional.
Menurutnya, ia sekaligus membuka ruang kepada pentafsiran yang bersifat selektif dan dilihat lebih menjurus kepada pencemaran reputasi serta pemusnahan imej individu tertentu.
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak pendakwaan mempertimbangkan semakan semula terhadap kes berkenaan.
“Sekiranya terdapat asas kukuh untuk menggugurkan pertuduhan, tindakan itu wajar dilaksanakan bagi mengelakkan pembaziran masa mahkamah dan sumber awam semata-mata akibat tekanan atau sentimen politik,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.