Bersatu Gesa Tolak Pencalonan Nick Adams Sebagai Duta AS ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Jul 25 – Bersatu menggesa kerajaan menolak pencalonan Nick Adams, sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) yang baru ke Malaysia.

Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pencalonan Nick yang diumumkan pada 10 Julai oleh Presiden AS, Donald Trump sebagai “sangat membimbangkan dan tidak boleh diterima”.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, pencalonan Nick itu seperti penghinaan terhadap Malaysia.

“Pencalonan ini perlu dilihat dalam konteks keputusan pentadbiran Trump baru-baru ini untuk menaikkan tarif secara khusus ke atas eksport Malaysia — menjadikan Malaysia satu-satunya negara Asean yang dikenakan layanan sebegitu.

“Masa dan sifat kedua-dua keputusan ini menunjukkan satu penghinaan yang disengajakan terhadap kerajaan Malaysia serta isyarat tidak menghormati kedaulatan dan maruah diplomatik negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Ahmad Fayhsal turut mendesak tindakan segera daripada Wisma Putra dengan mengeluarkan nota bantahan terhadap pencalonan tersebut.

“Kami menggesa Kementerian Luar Negeri untuk mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan AS, dengan jelas menyatakan bantahan Malaysia terhadap pencalonan ini.

“Kegagalan bertindak tegas akan mencerminkan kelemahan komitmen pentadbiran Madani dalam mempertahankan maruah dan kebebasan dasar luar negara,” katanya.

Katanya, Perkara 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk menolak agrément — iaitu persetujuan rasmi — terhadap mana-mana pencalonan duta yang dianggap tidak sesuai.

“Malaysia tidak boleh berdiam diri menghadapi penghinaan sebegini. Maruah negara mesti dipertahankan,” tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share