
KUALA LUMPUR, 13 Ogos 25 — Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai mendakwa prestasi ekonomi negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin merosot dan dibuktikan dengan kadar pertumbuhan gaji sektor perkilangan yang sangat rendah selain pengeluaran besar-besaran pelaburan asing.
Memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), Dominic berkata kadar pertumbuhan gaji purata pekerja sektor perkilangan pada 2023, 2024 dan 2025 masing-masing hanyalah 0.9%, 0.8% dan 0.7%.
“Adakah angka ini benar-benar mencerminkan keadaan ekonomi yang ‘sangat kukuh’ seperti yang sering dicanangkan kerajaan?
“Keadaan ini wajar diteliti, khususnya selepas pengumuman Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) yang dilihat tidak mendapat sambutan positif pelabur asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Dominic turut memetik data daripada laman kewangan iSaham yang menunjukkan pegangan pelabur asing di Bursa Malaysia sehingga Khamis lalu berjumlah RM2.35 bilion yang dakwanya paras terendah dalam sejarah.
Selain itu, Dominic berkata, pasaran saham kini disokong terutamanya oleh dana tempatan, bukan pelaburan asing baharu.
Sekiranya trend itu berterusan, pasaran akan berdepan risiko penurunan harga saham sekiranya pelabur tempatan berhenti membeli tanpa kemasukan modal baharu dari luar, dakwa Dominic lagi.
Menurutnya, jumlah pengeluaran pelaburan asing juga telah melebihi RM14 bilion (RM14.066 bilion) sejak dua tahun lalu, iaitu dua kali ganda berbanding tempoh sebelumnya.
Tambahnya, data Bursa Malaysia turut menunjukkan pelabur asing membawa keluar RM2.629 bilion pada 2023 dan RM4.206 bilion pada 2024, menjadikan jumlah kumulatif RM6.835 bilion sebelum meningkat lagi tahun ini.
“Sejak 25 Julai, pelabur asing telah menjual saham secara berterusan selama sembilan hari dagangan, termasuk empat hari berturut-turut dengan pengeluaran modal melebihi RM100 juta sehari,” katanya.
Dominic turut mengkritik pentadbiran Anwar yang memberi tumpuan berlebihan kepada isu remeh seperti polemik pengibaran bendera terbalik, sedangkan hakikatnya pelabur asing terus hilang keyakinan.
“Sekiranya Anwar tidak mampu mengubah keadaan ini, beliau wajar mengundurkan diri secara terhormat dan memberi laluan kepada pemimpin lain yang lebih berkemampuan,” tegas Dominic lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.