
KUALA LUMPUR, 25 OKT 25 – Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Bersatu Selangor, Mohamad Shafiq Abdul Halim melepaskan jawatan berkuat kuasa serta-merta sebagai tanda protes terhadap sikap Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Melalui hantaran media sosial, Shafiq mendakwa dia kecewa dengan Tun Faisal yang tidak memberi perhatian kepada isu Palestin dan Gaza.
“Saya merasa amat terkilan dan sedih apabila Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal tidak hadir dan tidak memberi ucapan membela nasib rakyat Palestin dan Gaza.
“Ini bukannya kali pertama, malah sudah banyak himpunan pro-Palestin dan Gaza yang beliau tidak hadiri,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Keputusan itu dibuat ketika dia menyertai demonstrasi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia di ibu negara, semalam.
Katanya, tindakan itu selaras dengan seruan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat agar kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap kekejaman rejim Israel dan sekutunya.
Sebagai perbandingan, Shafiq berkata, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari boleh hadir dan menyatakan pendirian parti itu terhadap isu berkenaan, sedangkan Tun Faisal tidak menunjukkan komitmen sama.
Malah jawatan itu kata Shafiq sebagai satu beban dan memalukan kerana pemimpinnya tidak fokus terhadap isu rakyat serta tidak sensitif terhadap permasalahan umat Islam di dunia.
“Oleh itu, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf dan terpaksa untuk melepaskan jawatan lantikan Tun Faisal terhadap saya sebagai Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Parti Bersatu Selangor, berkuat kuasa hari ini.
“Jawatan ini hanya memberi beban dan malu besar kepada saya kerana ketua saya, Tun Faisal tidak fokus pada isu rakyat dan sensitif terhadap isu-isu yang menimpa umat Islam di dunia, ” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.