Tuduhan ‘Dana Haram’ Cemar Slogan ‘Reformasi’ Anwar, Kata PAS

KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 — PAS mendesak kerajaan bertindak segera dan telus terhadap dakwaan serius berhubung penggunaan ‘dana haram’ yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan tokoh korporat terkemuka, Vincent Tan, susulan pendedahan yang dibuat oleh Ketua Cabang PKR Wangsa MajuLai Chen Heng,

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan berkata, dakwaan tersebut mencemarkan imej Anwar dan mencabar kredibiliti pentadbiran kerajaan yang selama ini mendukung slogan reformasi, integriti dan ketelusan.

“Pendedahan ini bukan hanya menjejaskan maruah individu, tetapi turut mencalar reputasi negara di mata dunia serta meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berdiam diri dan harus memastikan satu siasatan menyeluruh dijalankan segera, tanpa sebarang campur tangan politik.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan semua agensi penguatkuasa perlu bertindak secara bebas dan berani. Rakyat berhak tahu kebenaran,” ujar Ahmad Fadhli.

Justeru, PAS menggerakkan seluruh jentera penerangannya di peringkat negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis mendesak siasatan segera terhadap dakwaan berkenaan, katanya.

Langkah itu adalah satu tanggungjawab moral bagi mempertahankan maruah negara dan memastikan budaya politik bersih terus dipertahankan.

“Kerajaan harus ingat, ketelusan dan integriti bukan retorik politik semata-mata. Ia adalah kewajipan yang mesti dibuktikan dengan tindakan nyata,” tegas beliau.

Dakwaan itu timbul selepas video melibatkan seorang pemimpin PKR tersebar di media sosial, mendakwa wujud pengaliran dana meragukan kepada kepimpinan tertinggi parti, termasuk melibatkan sumber-sumber korporat besar negara. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share