Boleh elak buang pekerja jika kerajaan tak perah Petronas, dakwa Hamzah

KUALA LUMPUR, 7 JUN 25 – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan kerajaan tetap menuntut dividen daripada Petronas tanpa mengambil kira kedudukan kewangan syarikat itu.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut berkata, cadangan penstrukturan semula Petronas dan pembuangan kakitangannya boleh dielakkan sekiranya kerajaan tidak “memerah” syarikat minyak kebangsaan itu.

“Namun, apa yang mengejutkan, dalam keadaan keuntungan Petronas jatuh dengan begitu besar, kerajaan tetap memerah Petronas membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan untuk tahun 2025, sama seperti tahun 2024.

“Walhal, jika kerajaan tidak memerah Petronas dan mengambil langkah mengurangkan kadar bayaran dividen mengikut prestasi keuntungan semasa Petronas, penstrukturan semula yang memangsakan rakyat ini boleh dielakkan,” katanya, dalam kenyataan baru-baru ini.

Hamzah berkata, cadangan penstrukturan semula itu berlaku susulan penyusutan keuntungan berturut-turut yang dihadapi Petronas, iaitu jatuh 32% bagi tahun 2024 dan sebelum itu, jatuh 21% pada 2023.

“Kerajaan perlu memberikan penjelasan rasional mengapa dividen Petronas kekal diperah tanpa mengambil kira kejatuhan keuntungan syarikat dan kebajikan kakitangan?

“Rakyat berhak tahu, adakah ini pengurusan fiskal yang adil?,” soal Hamzah

Laporan sebelum ini mengatakan Petronas terpaksa menstruktur semula syarikat dengan membuang 5,000 pekerja mereka, iaitu kira-kira 10% daripada keseluruhan tenaga kerja sepanjang proses tersebut. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share