Cadang ‘Reset’ Struktur PN: Wakil Rakyat PN Disaran Jadi Ahli Terus Gabungan

KUALA LUMPUR | 19 Mac 26 — Aktivis politik dan mantan ahli BERSATU, Shafiq Halim, mencadangkan supaya kepimpinan tertinggi PN menyemak semula peruntukan dalam Perlembagaan gabungan itu bagi membolehkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanding atas tiket PN diserap sebagai ahli gabungan PN.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja bersifat strategik, malah mampu memastikan kestabilan gerak kerja politik PN di peringkat Parlimen dan negeri sekiranya berlaku tindakan disiplin oleh mana-mana parti komponen.

“Perlu ada semakan terhadap Perlembagaan PN supaya wakil rakyat yang bertanding atas watikah PN boleh menjadi ahli terus kepada gabungan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada parti,” katanya.

Cadangan itu hadir ketika timbul dakwaan bahawa tindakan disiplin mungkin dikenakan terhadap sekumpulan ahli Parlimen dan ADUN yang dikaitkan dengan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam konteks tersebut, Shafiq berpandangan bahawa sebarang tindakan seperti penggantungan atau pemecatan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada peranan wakil rakyat, selagi mereka terus bernaung di bawah PN.

Beliau menegaskan, kebanyakan wakil rakyat terbabit bertanding menggunakan watikah PN, sekali gus memberi legitimasi kepada mereka untuk terus bergerak atas nama gabungan itu, bukan semata-mata parti individu.

“Isunya bukan soal parti semata-mata, tetapi mandat yang diberikan atas tiket PN. Maka tidak menjadi masalah jika mereka tidak lagi bersama parti, asalkan kekal bersama gabungan,” ujarnya.

Tambah beliau, kegagalan menangani isu ini secara tuntas berpotensi menjejaskan kekuatan dan keberkesanan PN sebagai blok pembangkang, khususnya dalam menyelaras gerak kerja di peringkat akar umbi dan legislatif.

Mengikut peruntukan sedia ada, keahlian terus kepada PN memerlukan permohonan bertulis kepada Setiausaha Agung serta kelulusan Majlis Tertinggi.

Cadangan untuk merombak struktur dalaman Perikatan Nasional (PN) mula timbul ketika krisis dalaman parti komponen dilihat semakin memuncak, dengan gesaan agar wakil rakyat diberi laluan menjadi ahli terus kepada gabungan tersebut.

Perkembangan ini membuka dimensi baharu dalam landskap politik pembangkang, apabila persoalan struktur dan kesetiaan mula mengatasi sempadan tradisional parti komponen. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share