
KUALA LUMPUR, 18 NOV 25 — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, mengumumkan penarikan diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17.
Abdul Halim menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam dan perbincangan teliti bersama kepimpinan tertinggi PH.
Keputusan itu katanya dibuat atas kehendak peribadi, tanpa sebarang tekanan atau pengaruh daripada mana-mana pihak luar.
“Langkah ini diambil demi menjaga keharmonian serta hubungan baik antara PH dan rakan kerjasama politik di Sabah,” katanya, dalam satu kenyataan.
Walaupun tidak lagi bertanding, Abdul Halim menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat Silam dan Lahad Datu.
Keputusan itu menjadikan persaingan merebut kerusi DUN Silam berkurangan kepada lapan penjuru, berbanding sembilan penjuru sejurus selesai proses penamaan calon.
Kerusi itu disandang Warisan melalui Datu Dumi Masdal selepas menang PRN 2020 dengan 1,542 undi.
Kawasan dengan sejumlah 28,261 pengundi itu menyaksikan pertembungan antara:
1. Sharif Musa Sharif Mabul (BN-Umno)
2. Datuk Mizma Appehdullah(GRS-Gagasan Rakyat)
3. Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan)
4. Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN-Bersatu)
5. Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas/IND)
6. Mohammad Enriquez (SPP)
7. Brahim Bisel (PIS)
8. Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS)
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.