Cadangan Tubuh Suruhanjaya Sejarah Malaysia, Elak Naratif Dimonopoli Pihak Tertentu

KUALA LUMPUR, 31 Ogos 25 – Malaysia perlu segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya Sejarah Malaysia yang bebas bagi memastikan naratif sejarah negara tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak, kata Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM).

Beliau menegaskan, badan bebas itu berperanan sebagai mekanisme timbang tara dalam pertelingkahan sejarah dan menjadi rujukan utama bagi menentukan tafsiran yang lebih tepat serta berakar pada kewatanan Melayu, kedudukan Islam sebagai agama dominan, serta kepelbagaian budaya Malaysia.

“Cadangan saya ialah menubuhkan Suruhanjaya Sejarah Malaysia yang bebas. Ia mesti berfungsi sebagai institusi setaraf dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukan di bawah kerajaan atau Arkib Negara,” katanya ketika menjadi panelis Better Nation Forum ke-7: Kemerdekaan dan Cabaran Kolonialisme Baru di Menara Dato’ Onn, baru-baru ini.

Prof. Ahmad Murad yang juga Felo Kanan Southeast Asia Research Centre and Hub di De La Salle University, Manila berkata, pendidikan sejarah negara wajar ditambah baik dengan memperkenalkan subjek berkaitan kolonialisme, orientalisme dan eurosentrisme di universiti.

Katanya, langkah itu penting untuk membina kefahaman kritis generasi muda terhadap anatomi kuasa, penindasan dan hegemoni Barat, sekali gus mengelak pengaburan fakta jenayah penjajahan yang masih berlaku dalam wacana global hari ini.

Beliau turut menekankan, Malaysia boleh belajar daripada Jepun, China dan Iran yang berjaya menstrukturkan naratif sejarah mereka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa.

“Sejarah bukan sekadar rakaman peristiwa, tetapi medan perjuangan naratif. Tanpa institusi bebas yang menjaga kelurusan naratif sejarah, generasi akan berdepan risiko kehilangan jati diri kerana sejarah mereka ditentukan oleh lensa asing,” ujarnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share