
KUALA LUMPUR, 30 Mei 25 – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan meninggalkan UMNO dan meletakkan semua jawatan yang disandang beliau sejak menyertai UMNO tahun 1997.
Dalam satu kenyataan ringkas menerusi status facebook miliknya, beliau turut mengumumkan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi.
“Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.
“Pada masa yang sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat. Ujarnya ringkas.
Untuk rekod, tempoh perkhidmatan senator beliau akan berakhir pada Disember 2025 kelak. @politiko.my