Cutilah Rafizi, kata Dominic

KUALA LUMPUR, 14 MEI 25 – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menegur Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana didakwa lebih memberi tumpuan kepada perebutan jawatan dalam PKR berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Kabinet.

Menurut beliau, Rafizi tidak sepatutnya mengabaikan tugas sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan negara.

Katanya, kerajaan wujud demi rakyat, justeru keutamaan perlu diberikan kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Jika beliau terlalu sibuk dengan urusan parti sehingga gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Ekonomi, lebih baik Rafizi mengambil cuti sementara. Sejak dilantik, tiada pencapaian ketara yang dapat dibanggakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook beliau.

Dominic turut mengkritik Rafizi yang didakwanya gagal menangani isu ekonomi secara berkesan, termasuk dalam isu cukai timbal balas Amerika Syarikat.

Malah katanya, usaha yang dilakukan setakat ini seperti pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) masih belum menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Yang kelihatan aktif dalam isu-isu penting ekonomi adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan kelewatan Kementerian Ekonomi dalam menjelaskan definisi kumpulan T15 meskipun janji telah dibuat sejak Oktober tahun lalu.

Rafizi sebelum ini memaklumkan bahawa definisi tersebut akan diumumkan dalam tempoh sebulan, namun kini sudah pertengahan Mei 2025 tanpa sebarang penjelasan rasmi.

“Kerajaan tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan berkaitan bantuan atau subsidi tanpa definisi yang jelas mengenai kumpulan T15. Jika masih belum tahu, lebih baik semua bentuk penarikan bantuan ditangguhkan dahulu,” katanya.

Dominic turut menyifatkan Rafizi, yang dahulu lantang memperjuangkan reformasi, kini seolah-olah hilang arah sejak menjadi menteri.

“Beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya hebat berkata-kata tetapi gagal dalam pelaksanaan. Jika Rafizi sedar akan kelemahan ini, lebih baik serahkan jawatan kepada individu yang lebih berkelayakan,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share