
KUALA LUMPUR, 23 Sept 25 – Bersatu Sabah menegaskan jawatan politik tidak seharusnya diagih mengikut kaum kerana ia merupakan amanah besar yang perlu dipikul berdasarkan kebolehan, integriti dan penerimaan rakyat, bukannya semata-mata latar belakang etnik.
Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang berjanji akan melantik timbalan ketua menteri daripada etnik Cina sekiranya kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 merupakan amalan politik lama yang tidak selari dengan pendekatan Perikatan Nasional (PN).
“Saya menyeru rakyat supaya tidak lagi terperangkap dengan retorik politik yang hanya menjanjikan jawatan mengikut kaum.
Masa depan Sabah memerlukan kita bergerak dalam satu saf, menyatukan semua lapisan masyarakat, dan mengangkat mereka yang benar-benar mampu memikul amanah rakyat,” katanya ketika dihubungi politiko.my.
Beliau menegaskan, Sabah perlu meraikan kepelbagaian masyarakat termasuk Cina, Kadazan Dusun Murut, Bajau, Suluk, Bugis, dan Melayu, sebagai rakan seperjuangan dalam membina negeri.
Katanya, tawaran PN ialah membentuk kerajaan yang stabil, inklusif, bersih dan berintegriti, yang membuka ruang kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Jawatan bukan hadiah politik, tetapi amanah besar untuk membawa Sabah ke arah lebih baik,” ujarnya sambil menambah bahawa realiti sumbangan komuniti Cina tidak boleh dinafikan, namun kuota kaum dalam pembahagian jawatan seharusnya ditinggalkan.
Menurutnya lagi, PN percaya setiap jawatan utama termasuk ketua menteri atau timbalan ketua menteri wajar diputuskan melalui musyawarah, dengan mengambil kira kepimpinan, kemampuan dan penerimaan rakyat.
PN juga, tegasnya, menolak pendekatan yang berpotensi memecah-belahkan rakyat berdasarkan janji politik ikut kaum kerana Sabah memerlukan perpaduan kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan.
“Fokus PN Sabah ialah memastikan rakyat mendapat kerajaan yang mampu mengangkat ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan, memperkukuh pendidikan serta menjamin kebajikan semua lapisan masyarakat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.