
KUALA LUMPUR, 22 Sep 25 — Penganjur himpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menjemput Umno untuk hadir ke himpunan yang dijadual pada Sabtu, 4 Oktober depan.
Untuk tujuan itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri berkata, sayap pemuda parti Islam itu akan menghantar jemputan rasmi kepada Umno.
“Pada rakan Umno kita akan hantar surat rasmi untuk bersama himpunan tolak RUU ini. Mereka juga membantah RUU ini, kita akan susuli surat rasmi kepada semua rakan parti politik yang ada dalam negara kita.
“Himpunan ini akan gabungkan semua entiti, Pemuda PAS sebagai pemula. Semua parti politik nak bersama, NGO NGI kita ada jadual dan garis masa nak bertemu semua pihak ini,” katanya, dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS, petang tadi.
Pemuda PAS turut menyasarkan kehadiran melebihi 50,000 orang untuk himpunan yang bakal berlangsung di ibu negara itu.
Sayap parti itu sebelum ini menganjurkan himpunan ‘Turun Anwar’ di ibu negara, yang menyaksikan kehadiran puluhan ribu peserta membanjiri Dataran Merdeka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.