
KUALA LUMPUR, 17 Sep 25 — Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sebenarnya menolak pencalonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu secara halus ketika Muktamar PAS ke-71 baru-baru ini, kata seorang pemimpin akar umbi Bersatu.
Dalam hantaran media sosial, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu, Cheras Irwan Noordin melihat, kenyataan Hadi sebenarnya menepis dakwaan Muhyiddin kononnya mendapat sokongan beliau untuk memimpin.
“Pandangan presiden PAS berkaitan mereka yang berumur 70 tahun ke atas yang lebih sesuai berperanan sebagai penasihat berbanding calon perdana menteri, presiden pengasas Bersatu mendakwa dirinya mendapat sokongan presiden PAS.
“Sebenarnya pandangan presiden PAS bagi saya secara halus menolak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin dan dirinya sendiri yang ketiga-tiganya berusia akhir 70an, sebaliknya cenderung kepada calon yang lebih muda yang memenuhi tiga syarat yang beliau tetapkan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Irwan berkata, perhimpunan agung tahunan kedua-dua parti yang dihadirinya juga menunjukkan perbezaan ketara sikap akar umbi parti.
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu katanya tidak lebih dari pentas membodek Muhyiddin, dengan penekanan kepada kedudukannya sebagai calon perdana menteri ke-11.
PAT 2025 itu juga katanya tidak menyentuh isu penting membabitkan kepentingan rakyat.
“Sebab itu, saya berkongsi pandangan sebahagian ahli parti yang merasakan PAT 2025 lebih kepada pentas bodek dan bukannya forum perbincangan dasar yang sebenar.
“Jadi persoalan yang timbul dari otak saya yang daif dan naif ini, ini sahajakah kualiti Jawatankuasa Usul dan Pembahas PAT Bersatu 2025 dan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia?
Jelasnya, berbeza bagi usul-usul ketika Muktamar Tahunan PAS ke-71 pula menyentuh isu-isu semasa yang dekat dengan hati rakyat seperti kebimbangan rakyat berkenaan dasar pencukaian yang membebankan, penolakan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dikatakan mengancam hak rakyat dan masa depan generasi muda.
Malah, isu-isu semasa seperti buli dan isu-isu antarabangsa seperti sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin menyerlahkan kematangan dan keprihatinan PAS dalam menangani isu-isu dalam dan luar negara, tidak seperti Bersatu, yang mungkin mewajarkan usul pertama mereka berkaitan PAS menerajui PN, kata Irwan.
“Di kesempatan ini saya menyeru kepada para pemimpin parti khususnya presiden pengasas Bersatu untuk merenungi dan memikirkan pandangan presiden PAS ini untuk kebaikan parti demi negara dan rakyat tercinta,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.