
KUALA LUMPUR, 19 Jun 25 – Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun dirakam keterangan oleh pihak polis semalam berhubung kenyataannya berkaitan isu serahan data peribadi pengguna telefon bimbit.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan, keterangan Siew Mun dirakam semalam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Siew Mun telah menghubungi saya pada jam 2 petang tadi untuk memaklumkan bahawa beliau baru sahaja selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Diiringi oleh peguamnya, Kamarudin Ahmad, Siew Mun telah memberi keterangan kepada pihak polis dari jam 11.15 pagi hingga 1.15 tengah hari, dan kini sedang menikmati nasi kari di restoran berdekatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Siew Mun disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan telefon bimbit beliau turut dirampas bagi membantu siasatan, kata Ka Siong.
Beberapa pemimpin MCA seperti Pengerusi Biro Penerangan yang merangkap Setiausaha Agung Wanita MCA, Chan Quin Er bersama-sama kepimpinan Pemuda MCA dan pakar perundangan turut hadir ke Bukit Aman sebagai tanda solidariti bersama Siew Mun.
Menurut Ka Siong, Siew Mun dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berkaitan video yang memetik laporan South China Morning Post serta mempersoalkan niat di sebalik arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data pengguna.
MCA tegasnya akan terus berdiri teguh bersama Siew Mun dan bersedia memberikan bantuan guaman demi mempertahankan hak kebebasan bersuara rakyat. @politiko.my