
KUALA LUMPUR, 16 Sep 25 – Isu cadangan memperkenalkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada persoalan utama, iaitu memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, berkata subjek tambahan seperti Mandarin atau Tamil boleh ditawarkan di sekolah kebangsaan, namun perkara yang lebih penting ialah konsistensi penggunaan bahasa kebangsaan.
“Sebenarnya, tiada masalah dalam menawarkan subjek bahasa Cina, Tamil atau mana-mana bahasa di sekolah kebangsaan. Namun, isu yang lebih besar adalah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua aliran persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, wacana mengenai pendidikan sering memberi tumpuan kepada isu sampingan, sedangkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai medium utama pembelajaran masih berdepan cabaran.
“Budaya arus perdana wacana kebangsaan perlu lebih jujur melihat persoalan ini. Jika perpaduan mahu diperkukuh, tumpuan utama adalah memastikan bahasa kebangsaan benar-benar menjadi teras dalam sistem persekolahan,” ujarnya.
Mengulas mengenai cadangan memperkenalkan Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan oleh Timbalan Presiden PAS, beliau berkata langkah itu tidak salah, malah telah lama diamalkan, namun usaha memperkukuh bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi agenda bersama.
Ahmad Murad menegaskan, penyelesaian jangka panjang bagi mencapai perpaduan nasional adalah dengan mewujudkan sistem persekolahan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai asas, sambil memberi ruang kepada bahasa lain sebagai subjek tambahan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.