Demokrasi Perlu Belajar Daripada Syura

Dalam dua rencana lalu, saya telah membicarakan makna ‘perundingan’ yang tepat, iaitu terjemahan bagi ‘syura’, dan bagaimana membaiki amalan-amalannya yang sedia ada.

Kali ini saya membicarakan bagaimana meningkatkan aplikasinya berkaitan demokrasi.

Demokrasi diamalkan kini kerana ia diterima sebagai sistem politik, berorganisasi dan bermasyarakat yang terbaik. Ini berlaku kerana demokrasi telah dibangunkan dengan pesat sejak kelahirannya hingga sekarang. Sentiasa timbul idea-idea baru untuk membaiki amalan-amalannya.

Sebenarnya, syura punya kedudukan, tuntutan dan manfaat-manfaat yang tinggi, tetapi kerana ia tidak dibangunkan dengan pesat, maka kini, aplikasinya terhad.

Bagi demokrasi, di sebalik idea-idea baru pembaikannya, hakikatnya ia sedang berhadapan dengan masalah-masalah besar yang integral dan sistemik. Contohnya, calon diragui, elitis, dinasti, politik wang, rasuah, patronaj, salah guna undang-undang, kempen mahal, iklan jahat, ucapan kebencian dan manipulasi.

Sejenis kitaran syaitan berleluasa. Seseorang menggunakan wang untuk mendapatkan kuasa. Seterusnya, ia menggunakan kuasa untuk mendapatkan lebih banyak wang. Seterusnya, ia menggunakan lebih banyak wang untuk mendapatkan lebih banyak kuasa. Ini berterusan.

Akibatnya, wujud ‘majoriti yang dikawal minoriti’ atau ‘kerajaan minoriti yang bertopengkan kerajaan majoriti’.

Kerana itu, maka inilah masanya untuk berbicara bagaimana perundingan dalam maknanya yang tepat, iaitu syura, dibangunkan dan dimajukan aplikasinya berkaitan demokrasi.

Demokrasi harus belajar daripada prinsip-prinsip syura yang berasaskan wahyu dan sunnah. Manakala syura harus belajar daripada demokrasi tentang kerangka, struktur, proses dan prosedur.

Mulakanlah melalui kefahaman dan komitmen untuk melaksanakan perundingan dengan sebaik-baiknya.

Iaitu pertama, perundingan dalam memilih pemegang-pemegang jawatan yang memiliki ciri-ciri tinggi.

Dan kedua, mengamalkan ‘penghakupayaan’ dan ‘perwakilan’ dalam ‘kerangka governans baru’ yang melaksanakan perundingan, di dalam dan di antara, tiga sektor utama pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan/swasta dan masyarakat sivil).

Perundingan perlu dilaksanakan pelbagai sistem, institusi, kepimpinan dan kerajaan. Antaranya:

  • Institusi pendidikan: Pendidikan Amali Perundingan (melaksanakan konsep ‘pelajar berkerajaan sendiri’, bukannya sebagai subjek).
  • Parti politik: perundingan dalam menggariskan kriteria kelayakan, pemilihan pemimpin dan calon pilihan raya, polisi, manifesto, aktiviti-aktiviti; penghakupayaan dan perwakilan wanita, pemuda dan akar umbi.
  • Kerajaan: menubuhkan Majlis Perundingan yang menasihati kementerian/agensi; mengurangkan birokrasi membuat keputusan.
  • Dewan Negara: perundingan dalam menentukan kriteria kelayakan dan pencalonan ahli-ahlinya; meningkatkan peranannya dan menghapuskan imej rubber stamp.
  • Dewan Rakyat: meningkatkan perundingan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan dalam penggubalan undang-undang dan peranan Ketua Pembangkang dalam menentukan agenda sidang.
  • Dewan Undangan Negeri: kebanyakannya perlu mewujudkan jawatan Ketua Pembangkang dan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan; menambah jumlah hari persidangan.
  • Pihak Berkuasa Tempatan: perundingan dalam kriteria kelayakan dan pencalonan ahli-ahlinya; menjadikannya ‘Parlimen Peringkat Tempatan’ yang sebenar.

Wacana ini belum sempurna. Kita mesti terus menyelidik, berbicara, melaksanakannya dan memperbaikinya.

Sehingga perundingan benar-benar dihayati sebagai syura.

Sehingga syura menjadi progresif, meningkat aplikasinya berkaitan demokrasi dan menjadi perawat akan penyakit-penyakit demokrasi.

Dan sehingga syura menjadi alternatif kepada sistem politik, berorganisasi dan bermasyarakat.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Selepas 75 Tahun, Mampukah PAS Memimpin Malaysia?

PAS juga perlu beralih daripada bahasa pembangkang kepada bahasa pemerintahan. Rakyat mahu mengetahui bagaimana PAS akan menangani kos sara hidup, mencipta pekerjaan, menarik pelaburan, memperbaharui pendidikan, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan menyediakan negara menghadapi perubahan teknologi.
Read More
Total
0
Share