Dewan Negara Lulus RUU Jenayah Siber, Perkukuh Tindakan Terhadap Jenayah Digital

KUALA LUMPUR | 21 Julai 26 – Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang bertujuan memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan berkembang seiring kemajuan teknologi.

RUU yang mengandungi lapan bahagian serta 61 fasal itu diluluskan dengan lebih suara selepas dibahaskan oleh 21 Ahli Dewan Negara dan dipersetujui tanpa sebarang pindaan pada peringkat jawatankuasa.

Rang undang-undang tersebut turut menggantikan Akta Jenayah Komputer sedia ada bagi menyediakan peruntukan yang lebih menyeluruh dalam menangani pelbagai bentuk jenayah siber.

Ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata semua kesalahan di bawah RUU itu boleh diekstradisi kerana memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun.

Menurut beliau, Akta Ekstradisi menetapkan bahawa mana-mana kesalahan yang membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun layak dikategorikan sebagai kesalahan yang boleh diekstradisi.

“RUU Jenayah Siber memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun. Justeru, semua kesalahan di bawah rang undang-undang ini secara automatik memenuhi syarat untuk tindakan ekstradisi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras jenayah siber melalui pelbagai mekanisme, termasuk Bantuan Perundangan Bersama (MLA), Interpol, Aseanapol, kerjasama antara agensi penguat kuasa serta pelaksanaan Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber.

Mengulas kebimbangan berhubung perkembangan teknologi baharu, Rubiah menjelaskan RUU itu tidak mengawal selia penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara khusus, sebaliknya memberi tumpuan kepada tindakan terhadap penyalahgunaan teknologi berkenaan untuk tujuan jenayah seperti penipuan, manipulasi pilihan raya dan eksploitasi seksual.

Beliau turut menegaskan bahawa RUU tersebut tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara, kebebasan media atau penyelidikan akademik yang dijalankan mengikut lunas undang-undang.

“Tindakan hanya akan diambil apabila semua elemen kesalahan berjaya dibuktikan melalui proses siasatan dan prosiding mahkamah selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

RUU Jenayah Siber dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk bacaan kali kedua sebelum diluluskan Dewan Negara. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share