Dilema Penyerahan Kuasa dalam BERSATU

Oleh Philip Golinggai

Tekanan dalam Perikatan Nasional untuk menampilkan seorang pemimpin pembangkang yang lebih agresif dan berorientasikan tindakan semakin memuncak.

Walaupun Pengerusi Perikatan Nasional merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat cuba mempergiat peranannya, sentimen di kalangan gabungan itu – termasuk dalam partinya sendiri – ialah bahawa segala usaha beliau kini dianggap “terlalu sedikit, terlalu lewat”.

Seorang sumber dalaman BERSATU yang enggan dinamakan menyatakan bahawa keadaan dalaman parti begitu tegang sehinggakan ada usaha menjejak individu yang membangkitkan isu peralihan kuasa.

“Mereka mengugut tindakan disiplin. Mereka mahu menakutkan orang daripada bercakap soal ini. Tapi realitinya, tindakan sedemikian menunjukkan mereka sedar tekanan semakin meningkat,” katanya.

Tambah beliau, kepimpinan parti kini menggunakan segala ruang kuasa prosedur dan peraturan parti untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin di kerusi presiden.

Namun begitu, tekanan kini kian meningkat kerana PAS dikatakan sudah mula gelisah dengan kelewatan proses peralihan.

Ramai dikalangan ahli dan kepimpinan BERSATU kini mula melihat keperluan penyerahan jawatan presiden kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dijangka boleh dilakukan pada Perhimpunan Agung BERSATU bulan September ini.

“Tan Sri Muhyiddin sendiri tidak keberatan. Tetapi beliau bimbang akan wujud perpecahan – khususnya jika Datuk Seri Azmin Ali bertindak meninggalkan parti,” kata sumber itu, merujuk kepada Setiausaha Agung BERSATU.

Namun dalam kalangan pimpinan parti, wujud suara yang jelas: “Kalau Azmin mahu lari, silakan.”

Apabila ditanya apakah perkara yang menyebabkan PAS resah, beliau menjelaskan bahawa keresahan itu turut dirasai oleh akar umbi BERSATU sendiri.

“Kepimpinan tidak memberikan hala tuju yang jelas bagaimana kita ingin mara ke hadapan. Tan Sri Muhyiddin tidak berperanan seperti seorang Ketua Pembangkang. Beliau masih terbawa-bawa gaya seorang Perdana Menteri,” ujar beliau.

“Hakikatnya, sikap tidak agresif inilah yang mengecewakan ramai pihak.”

Walaupun pengkritik mengakui kenyataan Muhyiddin yang mutakhir – seperti isu pemberhentian kerja di Petronas dan dakwaan terhadap Yusoff Rawther – menunjukkan sedikit aggresif, namun ia dilihat masih belum mencukupi.

“Ya, beliau wajar dipuji atas perubahan itu, tetapi ia sekadar kenyataan media. Orang ramai mahu beliau turun padang, menjelajah ke kawasan pilihan raya, memimpin rapat umum, menggerakkan akar umbi dan jentera parti.”

Walau diakui ada perubahan yang dilakukan Muhyiddin, ia kini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai usaha terdesak untuk kekal relevan.

“Langkah terbaik beliau ialah mengumumkan pelan penyerahan kuasa yang jelas. Maka, beliau akan dihormati sebagai negarawan yang tahu bila masa untuk berundur secara teratur.”

Apakah perbezaan antara Hamzah dan Muhyiddin sebagai pemimpin Perikatan Nasional?

Sumber tersebut menjelaskan bahawa Hamzah lebih agresif, tetapi dihadkan oleh hakikat bahawa Muhyiddin masih menjadi presiden. “Sejak awal, Hamzah lebih ke hadapan dalam menunjukkan kepimpinan sebenar. Tetapi sifat setia dan sikap berhati-hatinya membuatkan beliau enggan menonjol melebihi kuasa presiden – dan ini tidak sihat untuk parti.”

Dalam polemik politik semasa, ada yang mendakwa kekuatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpunca daripada kelemahan pembangkang.

Sumber tersebut bersetuju: “Anwar kuat kerana Muhyiddin lemah.”

“Jangan kelirukan populariti dengan kekuatan. Muhyiddin memang popular, punya rekod yang baik – tetapi rekod sahaja tidak cukup. Ia mesti diterjemahkan menjadi kekuatan pergerakan. Namun, itu tidak berlaku.”

Apabila ditanya mengapa pembangkang hari ini tidak sehebat Pakatan Harapan semasa menentang Barisan Nasional dahulu, beliau menjawab, “Itu semua tanggungjawab Muhyiddin. Lihat saja bagaimana Anwar – walaupun dalam penjara – tetap berada di barisan hadapan. Sedangkan Muhyiddin, yang bebas, enggan berada di depan.”

Tambah beliau, keengganan Muhyiddin meninggalkan Azmin Ali dilihat membebankan dirinya sendiri. “Beliau terlalu melindungi Azmin, dan ini boleh membawa kepada kejatuhannya.”

Akhir sekali, sumber tersebut menyuarakan keresahan paling besar: “Sekiranya Muhyiddin terus memimpin Perikatan Nasional, kerajaan Anwar tidak akan tumbang dalam PRU-16.”

Artikel ini telah disiarkan di The Star dalam Bahasa Inggeris pada 15 Jun 25

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share