DNAA Zahid Uji Prinsip Reformasi Anwar, Hubungan PH-BN Makin Tertekan

KUALA LUMPUR | 13 Okt 26 — Isu pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menjadi ujian terhadap komitmen reformasi kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika hubungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berdepan tekanan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, isu DNAA Zahid masih belum selesai berikutan proses undang-undang yang membolehkan keputusan pendakwaan itu dicabar melalui semakan kehakiman.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober lalu membenarkan Peguam Negara dan Zahid mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membolehkan Badan Peguam Malaysia mencabar keputusan DNAA berkenaan.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 14 Jun 2027 bagi pengurusan kes semakan kehakiman itu, sementara menunggu perkembangan prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut Ahmad Fauzi, UMNO melihat tindakan pemimpin DAP membangkitkan semula nama Zahid dalam isu lama, termasuk kes mahkamah dan projek kapal tempur pesisir (LCS), sebagai usaha menjadikan isu tersebut senjata politik.

Bagaimanapun, Pemuda DAP terus mempertahankan pendirian bahawa keputusan DNAA itu wajar dipersoalkan bagi memastikan prinsip tadbir urus yang baik tidak dikorbankan demi mengekalkan kerjasama dengan BN dalam kerajaan perpaduan.

Ahmad Fauzi berkata, bagi penyokong akar umbi DAP, isu berkenaan penting untuk menangkis persepsi bahawa parti itu telah menggadaikan prinsip reformasi selepas bekerjasama dengan BN.

Beliau turut mengaitkan perkembangan itu dengan dinamika baharu hubungan BN dan Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya menambah pertimbangan politik menjelang PRU16.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Malike Brahim berpandangan, Parlimen merupakan ruang terbaik untuk membangkitkan isu DNAA kerana Ahli Parlimen mempunyai kekebalan ketika menjalankan tugas mereka di Dewan.

“Dalam Parlimen adalah ruang terbaik untuk berhujah dengan kekebalan yang ada,” katanya.

Menurut Malike, isu DNAA dibangkitkan sebagai seruan supaya kerajaan Madani bersikap telus dan tidak memilih bulu dalam menangani persoalan berkaitan rasuah.

Beliau berpandangan, tindakan Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, mendesak isu itu dibincangkan turut berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan prinsip yang dibawa Anwar dapat dilaksanakan.

Malike berkata, hubungan BN-UMNO dan PH yang disifatkannya seperti “retak menanti belah” ketika berdepan dinamika pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan berpotensi menghadapi tekanan serupa di Melaka.

Menurutnya, ketidakpuasan hati PH dan DAP terhadap BN-UMNO boleh menjadi tekanan kepada Perdana Menteri untuk membuktikan komitmen membanteras rasuah, tanpa mengutamakan kelangsungan kuasa sehingga mengabaikan prinsip yang dijanjikan.

Beliau turut menyifatkan isu Zahid sebagai liabiliti politik kepada kerajaan Madani dan kerajaan perpaduan, yang terus digunakan oleh pembangkang serta pihak dalam PH-DAP untuk mempersoalkan kedudukan BN-UMNO.

“Isu Zahid kekal sebagai senjata pembangkang mahu pun PH-DAP untuk terus meyakinkan rakyat untuk menolak BN-UMNO,” katanya.

Malike berpandangan, DAP melihat isu tersebut sebagai persoalan yang perlu diselesaikan secara telus melalui proses undang-undang, tanpa menjadikan keutuhan kerjasama politik sebagai alasan untuk mengelakkannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share