
KUALA LUMPUR | 23 Feb 26 — Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memikul amanah sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, keputusan pelantikan itu dibuat secara sebulat suara oleh semua Presiden parti komponen serta anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PN dalam mesyuarat khas yang berlangsung pada Ahad, 22 Februari 2026.
Ahmad Samsuri mengakui tanggungjawab yang digalasnya kini adalah besar dan mencabar, terutama dalam suasana harapan tinggi rakyat terhadap PN sebagai wadah perubahan yang mampu membawa pembaharuan lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, etnik dan latar sosioekonomi.
“Saya akan berbincang dengan kepimpinan MPT PN untuk mengadakan mesyuarat MPT PN bagi menentukan pelantikan jawatan sebagaimana keperluannya dalam Perlembagaan PN. Katanya dalam kenyataan, semalam.
Tegasnya, keutamaan segera adalah memperkukuh muafakat politik dalam gabungan itu, selain melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja supaya PN mampu berfungsi sebagai nukleus harapan rakyat dalam landskap politik semasa.
Semalam, ahli majlis Mesyuarat Luar Biasa PN turut mengesahkan peletakan jawatan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN. Muhyiddin meletakkan jawatan susulan krisis politik di Perlis dan kekalahan teruk dalam PRN Sabah tahun lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.