
KUALA LUMPUR, 21 Okt 25 – Ahli Parlimen blok kerajaan, Hassan Karim (Pasir Gudang) menegur tindakan pemimpin dari Sabah yang didakwa mengancam meletakkan jawatan kerajaan persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak negeri menerima 40 peratus hasil persekutuan.
Hassan menjelaskan bahawa ugutan politik seperti itu adalah “political ransom” dan belum pernah berlaku dalam sejarah negara.
“Ada parti dan ada menteri kerajaan pusat dari Sabah ugut kerajaan persekutuan… Ini political ransom namanya. Hal seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Hassan menegaskan AGC mempunyai hak untuk meneliti keputusan tersebut dan mungkin memfailkan rayuan, dan proses undang-undang tidak boleh dihalang.
“Berilah peluang kepada AGC menjalankan tugasnya jika kita menghayati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” tambah beliau.
Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara persekutuan mempunyai sistem kehakiman yang membolehkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, dan politik ugutan boleh melemahkan kerajaan persekutuan.
“Malaysia sebuah negara Persekutuan akan pecah jika politik ugutan digunakan untuk melemahkan kerajaan persekutuan. Biarlah proses undang-undang berjalan sepenuhnya secara tertib…”
Semalam, mahkamah tersebut memutuskan bahawa Sabah berhak secara perlembagaan untuk menerima 40 peratus daripada hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.