
KUALA LUMPUR, 8 Ogos 25 – PAS enggan menamakan calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) kerana merasakan parti itu mempunyai kekuatan lebih besar berbanding Bersatu, kata penganalisis.
Prof Madya Dr Malike Brahim, berkata, ia juga menunjukkan seolah-olah PAS tidak yakin keupayaan Bersatu.
“Mungkin PAS kurang yakin dengan kepimpinan peringkat PN, PAS tak berapa yakin dengan Bersatu, tak kuat sebenarnya, parti kecil, gelombangnya jadi fenomena, dari segi kerusi tak nampak,” kata pensyarah kanan jabatan pengurusan awam, pusat pengajian kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Katanya, PAS seperti mempertimbangkan kebarangkalian kerjasama bersama parti lain di luar PN, dan antara yang dilihat serasi adalah PKR.
“PAS ada ‘chemistry’ dengan PKR. Mungkin orang tak pernah sebut. Kalau ditakdirkan PAS kembali bersama PKR, selesai isu politik di Malaysia.
“Walaupun PKR liberal parti pelbagai kaum, tapi kita tak tahu strategi PAS. Dalam PRU14 bertanding bersendirian. Tidak bersama mana-mana pihak.
“Ataupun PAS masih lagi tak yakin keupayaan mereka ambil alih. Situasi dalam PN tidak ada jaminan, dia pemegang saham terbesar takkan perdana menteri dari Bersatu, kalau bersama PKR, PH sekurang-kurangnya dia dapat nombor dua walaupun tak dapat nombor satu,” katanya kepada politiko.my.
Tambahnya, situasi sebenar adalah PAS tidak memerlukan Bersatu.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan strategi itu membuka ruang kepada mana-mana pihak sama ada dari PAS atau Bersatu menjadi perdana menteri.
“Alasan agar poster boy PRU16 akan diserang itu mungkin ada asasnya, namun PN juga perlu umumkan poster boy dan calon perdana menteri dari PN seawal mungkin, agar rakyat dapat mengetahui lebih awal
“Ini adalah strategi yang baik (umum lebih awal),” katanya.
Katanya, walaupun Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin PN sekaligus sebagai poster boy PRU16, namun Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyatakan jawatan tersebut ‘terbuka’ bermaksud diisi PAS atau Bersatu.
“Ini mungkin strategi PAS membuka peluang samada dari parti PAS atau Bersatu, mempunyai peluang yg sama utuntuk memimpin negara sebagai perdana menteri,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.