China Tuntut Malaysia Jelaskan Perjanjian Dagang Dengan AS – Lapor Media Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 28 NOV 25 — China hari ini menggesa Malaysia memberikan penjelasan terperinci mengenai perjanjian dagang terbaharu dengan Amerika Syarikat, selepas Beijing menyatakan “kebimbangan serius” terhadap beberapa komitmen yang didakwa boleh mempengaruhi hubungan ekonomi serantau.

Laporan Bloomberg menyebut Beijing tidak berpuas hati dengan klausa tertentu dalam perjanjian perdagangan Malaysia–AS, khususnya bahagian yang mewajibkan negara terlibat mematuhi dasar kawal eksport dan sekatan dagangan Amerika Syarikat termasuk larangan terhadap entiti atau aktiviti yang sedang diboikot Washington.

Jurucakap Kementerian Luar China dipetik sebagai berkata, Malaysia dan Cambodia perlu “memberi penjelasan yang jelas” tentang kesan perjanjian tersebut serta memastikan keputusan dasar luar mereka “selaras dengan kepentingan jangka panjang sendiri”.

Dalam kenyataan susulan, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan telah memberikan penjelasan kepada wakil China mengenai perjanjian berkenaan, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai isi perbincangan itu.

Penganalisis melihat teguran China ini sebagai petanda bahawa Beijing semakin bimbang dengan elemen “poison pill” dalam perjanjian dagang yang ditawarkan Washington kepada negara-negara Asia Tenggara, yang boleh menghalang negara terbabit daripada menjalankan perdagangan bebas dengan China.

Malaysia, yang menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar, kini berhadapan dilema geopolitik baharu dalam mengekalkan hubungan rapat dengan Beijing sambil memanfaatkan ruang perdagangan dan akses pasaran yang ditawarkan Washington. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share