
KUALA LUMPUR, 4 NOV 25 — Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes penggunaan dokumen palsu dalam pendaftaran tujuh pemain asing bagi mewakili skuad kebangsaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, FIFA mengesahkan bahawa Jawatankuasa Rayuan telah meneliti semua hujah dan bukti yang dikemukakan FAM sebelum memutuskan untuk mengekalkan sepenuhnya hukuman asal yang dijatuhkan sebelum ini.
Antara hukuman yang dikekalkan ialah denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, selain penggantungan selama 12 bulan dan denda CHF 2,000 (RM10,500) terhadap setiap seorang daripada tujuh pemain terbabit — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut FIFA, kes tersebut berpunca daripada penggunaan dokumen tidak sah yang dikatakan mengandungi maklumat palsu mengenai asal-usul pemain berkenaan bagi membolehkan mereka layak mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
FAM dalam satu kenyataan mengesahkan telah menerima keputusan itu dan akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan alasan bertulis sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini. Pihak pengurusan dan peguam kami amat terkejut dengan keputusan tersebut,” kata Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Tambahnya, FAM akan terus mempertahankan reputasi serta kepentingan bola sepak negara melalui saluran undang-undang yang sah di peringkat antarabangsa.
Keputusan itu turut memberi kesan besar kepada imej bola sepak Malaysia, selain menimbulkan persoalan mengenai ketelusan prosedur pendaftaran pemain di bawah pengawasan FAM. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.