
KUALA LUMPUR, 3 MEI 25 – Pemuda PAS dijangka akan melancarkan kempen menandakan sokongan terhadap Petronas berikutan pertikaian antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri Sarawak, kata ketua penerangannya Khairul Nadzir Helmi Azhar.
Khairul Nadzir berkata, mereka akan melancarkan kempen dalam bentuk menyokong produk keluaran Petronas.
“Pemuda PAS sekarang ini meletakkan Petronas satu keutamaan bagi rakyat Malaysia. Pemuda PAS mendesak dan melancarkan ‘support’ Petronas dalam apa juga kita buat, terutama produk Petronas.
“Kita kena sedar Petronas banyak menyumbang bukan hanya rakyat Malaysia tapi seantero dunia, bangunkan negara membangun macam kita. Petronas bukan sahaja meneroka dalam negara tapi seluruh dunia,” katanya.
Khairul Nadzir berkata, sayap pemuda itu kecewa kerana tiada sebarang kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap syarikat petroleum negara itu.
“Petronas ini tanggungjawab kerajaan, tak boleh lepas tangan serahkan Petronas urus diri mereka.
“Mesti ada pembawakan keras dan berpendirian teguh keluar dari mulut perdana menteri tapi sekarang beliau tak cakap apa…tak tahulah sebab semata-mata pertahankan kedudukan politik terpaksa gadaikan perkara penting seperti ini,” katanya lagi.
Sarawak dilapor menghantar surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Miri, Sarawak. @politiko.my