
KUALA LUMPUR, 26 NOV 25 – Kerajaan digesa menyemak segera kadar gaji permulaan anggota polis berpangkat rendah kerana masih ada yang menerima gaji asas lebih rendah daripada kadar gaji minima semasa yang ditetapkan kerajaan sendiri.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata gaji permulaan kira-kira RM1,500 bagi anggota polis baharu jelas bercanggah dengan gaji minima negara sebanyak RM1,700 sebulan.
Menurutnya, pengiraan gaji tidak seharusnya bergantung kepada elaun kerana elaun adalah tidak tetap dan berbeza mengikut keadaan serta tugas.
“Saya akui kerajaan menyediakan pelbagai elaun dan sumbangan, namun soal gaji asas perlu diberikan perhatian khusus.
“Anggota polis berpangkat rendah merupakan barisan hadapan dalam siasatan, kawalan keselamatan dan pengurusan bencana,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengimbau latar belakang keluarganya, Wan Saiful berkata isu kebajikan anggota polis amat dekat di hati beliau kerana arwah bapanya ialah pesara polis berpangkat Korporal dan beliau sendiri dilahirkan di berek polis ketika bapanya bertugas di Kedah.
Justeru, beliau menggesa kerajaan meneliti semula struktur gaji serta kadar kenaikan tahunan bagi memastikan penghargaan setimpal kepada tugas yang dipikul anggota keselamatan negara itu.
Beliau turut menekankan bahawa prinsip keselarasan gaji permulaan dengan perintah gaji minima wajar dilaksanakan bukan sahaja untuk pasukan polis tetapi juga semua penjawat awam di setiap kementerian, jabatan dan agensi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.