
KUALA LUMPUR, 1 Nov 25 — Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dengan realiti politik moden.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, pendekatan Muhyiddin yang masih berasaskan politik lama — memecat sesiapa yang berbeza pandangan — telah mencetuskan perpecahan besar dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta menjejaskan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Apabila seorang pemimpin mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mencabar kedudukan dia, itu bukti dia sudah tidak sesuai dengan era moden. Itu politik tahun 70-an, 80-an, 90-an. Sekarang ini zaman orang menilai, dan ahli-ahli mahu perubahan,” tegas beliau.
Menurut Wan Saiful, gaya kepimpinan sedemikian bukan sahaja menutup ruang perbincangan dalaman, malah melemahkan semangat berpasukan dalam parti.
Beliau turut mendedahkan bahawa kekecohan dalam Bersatu berpunca daripada keputusan Muhyiddin dan penyokongnya menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri tanpa perbincangan mendalam bersama sekutu dalam PN.
“Kedudukan Tan Sri Muhyiddin sebagai presiden pun tidak disokong sepenuhnya. Tapi bila diatur dalam perlindungan agung seperti begitu sekali, ia menimbulkan kekecohan,” katanya.
“PAS pun dikatakan tidak selesa dengan tindakan menamakan beliau secara terbuka. Hubungan dalam PN sepatutnya lebih penting daripada kedudukan mana-mana individu.”
Katanya lagi, tindakan terus membawa usul pencalonan itu walaupun telah diminta supaya ditangguhkan menjadi punca perpecahan lebih besar dalam parti.
“Isunya berpaksi kepada persoalan sama ada Tan Sri Muhyiddin individu terbaik untuk memimpin Bersatu sehingga PRU16. Bagi saya, tak sesuai. Sebab itu saya kena pecat awal-awal,” ujarnya.
Wan Saiful menegaskan bahawa politik hari ini menuntut pemimpin yang terbuka kepada pandangan berbeza dan berani menerima teguran — bukan yang bertindak menyingkirkan pengkritik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.